PETALING JAYA – DIKECAM berimej pelik dan cuba meniru penampilan fesyen yang sering digayakan penyanyi handalan Aina Abdul, usahawan kosmetik kontroversi Datuk Seri Vida menegaskan idea penerbitan video muzik (MV) single terbaharunya, Ku Ikhlaskan yang dilancarkan pada awal pagi tadi bertujuan untuk menggalakkan penonton sama-sama menghulurkan sumbangan kepada insan yang memerlukan.
Ujar Vida atau nama lengkapnya Hasmiza Othman memberitahu, tujuan penghasilan MV tersebut bersandarkan harapan mahu setiap penonton akan menghulurkan derma sekali gus melakukan amal kebajikan.
“Saya ada sebab apabila menerbitkan lagu dan video muzik Ku Ikhlaskan. Tujuannya supaya selepas orang tonton, mereka boleh menghulurkan derma. Duit derma itu nanti saya akan salurkan kepada golongan yang memerlukan seperti asnaf, anak yatim, tahfiz dan tabung masjid.
“Saya mahu menjadi pemegang amanah kepada sumbangan ikhlas tersebut dan berharap agar sumbangan yang diterima nanti boleh disumbangkan kepada beberapa tempat sepanjang bulan Ramadan nanti,” katanya.
Tegas usahawan berusia 51 tahun itu lagi, dia sejujurnya berkata tujuannya menghasilkan MV tersebut bukan sekadar untuk suka-suka, sebaliknya demi kebaikan dunia dan juga akhirat.
“Saya buat MV ini bukan untuk suka-suka. Saya buat untuk dunia dan akhir,” katanya.
Dalam pada itu, Vida yang ditemui selepas konsert separuh akhir Big Stage musim keempat (BS4) malam tadi turut mengakui bersedia untuk menerima kecaman dan kritikan daripada orang ramai selepas MV single terbaharunya dilancarkan dalam YouTube.
Vida berkata, dia hanya mengambil kritikan positif sahaja memandangkan tujuan utama penerbitan MV tersebut adalah untuk tujuan yang baik.
“Saya berharap agar segalanya berjalan lancar memandangkan ‘storyline’ memang kena dengan lagu tersebut,” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi beberapa teaser yang diterbitkan oleh Vida, ramai yang menyifatkan penampilannya dalam video muzik berkenaan sebagai keterlaluan.
Tinjauan Kosmo! Online dalam saluran rasmi YouTube, DVS Entertaiment mendapati MV Ku Ikhlaskan telah menghampiri 200 ribu tontonan sejak dilancarkan sekitar pukul tiga pagi tadi. – KOSMO! ONLINE