SEREMBAN – Hilang tempat berteduh sekelip mata, itulah yang dialami sebuah keluarga apabila rumah yang didiami mereka di Jalan Temiang di sini musnah dalam kebakaran, awal pagi semalam.
Mahadi Abdullah, 42 berkata, ketika kejadian kebakaran, dia bersama isteri dan lima orang anak berada di dalam rumah namun sempat menyelamatkan diri sebelum api memusnahkan sama sekali rumahnya.
“Ketika kejadian, saya masih belum tidur dan saya dapati api bermula dari stor besi yang terdapat bersebelahan rumah. Saya segera kejutkan anak-anak yang sedang tidur dan keluar dari rumah dengan segera.
“Saya juga sempat menghubungi bomba sebelum api marak dan memusnahkan rumah dalam sekelip mata. Sedih sangat sebab tidak sempat selamatkan barang-barang berharga,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Mahadi berkata, dia, isteri bersama anak-anak berusia empat hingga 15 tahun tinggal sementara di sebuah rumah sewa hasil bantuan seorang aktivis kebajikan yang telah membayar deposit sewa rumah bagi tempoh tiga bulan.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian tersebut pada pukul 2.06 pagi.
Katanya, tujuh individu berjaya keluar menyelamatkan diri dalam kejadian membabitkan sebuah rumah dan bengkel besi. -KOSMO! ONLINE