Oleh AZIZAH SHAFIEI
BERA – Bukit Senorang bukanlah nama baharu bagi pencinta alam atau para pendaki, malah sejak ia berjaya diterokai beberapa tahun lalu, nama itu semakin dikenali oleh orang ramai.
Pada ketinggian 326 meter dari aras laut, Bukit Senorang bukan sahaja dipenuhi dengan tumbuh-tumbuhan, malah jika bernasib baik pengunjung boleh menikmati keindahan awan karpet semasa berada di puncak.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, selain Tasek Bera, Bukit Senorang kini menjadi produk pelancongan di daerah ini.
“Ini adalah produk baharu di Bera, dan nama Bukit Senorang ini telah dimasukkan dalam direktori pelancongan di daerah ini yang akan dipromosikan kepada orang luar.
“Selain dapat melihat flora dan fauna, pengunjung juga mungkin boleh tengok awan karpet tetapi ia bergantung kepada cuaca,” katanya selepas mengikuti program pendakian di Bukit Senorang di sini semalam.
Yang hadir sama Pegawai Daerah, Datuk Zaman Azam Mohamat.
Menurut Norolazali, Bukit Senorang berupaya menjadi pemangkin peningkatan ekonomi kepada masyarakat khususnya masyarakat tempatan. -KOSMO! ONLINE