fbpx

Suntikan HIV baharu beri perlindungan 2 bulan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pesakit HIV-AIDS duduk di atas katil sebuah hospital di Bangui, Republik Afrika Tengah pada 27 Januari 2022. - AFP

GENEVA – Suntikan pertama yang menawarkan perlindungan tahan lama terhadap virus kurang imun (HIV) kini diedarkan di Afrika Selatan dan Brazil sebagai alternatif kepada ubat-ubatan harian, demikian menurut agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), UNITAID.

Menurut laporan akhbar Saudi Gazette, UNITAID berharap perkembangan kemajuan rawatan HIV itu dapat meningkatkan pencegahan penyakit tersebut di seluruh dunia.

Dibangunkan oleh syarikat farmaseutikal, ViiV Healthcare dan diluluskan oleh pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat, suntikan itu yang mengandungi bahan aktif iaitu cabotegravir, menawarkan dua bulan perlindungan terhadap HIV.

“Namun begitu, kami memerlukan tindakan segera untuk memastikan orang ramai di seluruh dunia boleh mendapat manfaat sama,” kata Pengarah Eksekutif UNITAID, Philippe Duneton.

Seperti rawatan HIV yang lain, ubat anti-retroviral itu berfungsi dengan menghentikan virus daripada mereplikasi dalam badan, sekali gus berkesan mengurangkan beban virus.

Walaupun ubat makan sedia ada yang dikenali sebagai profilaksis pra-pendedahan oral (PrEP) boleh mencegah HIV dalam 99 peratus kes, pengambilan adalah perlahan dan sasaran mengurangkan jangkitan baharu tidak begitu berkesan.

“Ini kerana penghidap HIV takut kepada stigma, diskriminasi atau keganasan pasangan jika mereka mengambil pil itu setiap hari,” kata jurucakap UNITAID, Herve Verhoosel.

Bagaimanapun, Verhoosel memberi amaran bahawa kos suntikan yang tinggi iaitu sekitar AS$20,000 (RM83,016) setahun akan menjadi penghalang ketersediaan rawatan itu di negara membangun dan miskin. – AGENSI 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI