fbpx

Saman pencen: kerajaan perlu lebih masa penyelesaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kerajaan memerlukan lebih masa untuk cuba menyelesaikan saman pemula sekumpulan bekas hakim dan balu bekas hakim terhadap Kerajaan Malaysia berhubung kegagalan melaras kenaikan pencen dan faedah melalui proses mediasi.

Perkara itu dimaklumkan peguam Christopher Leong yang mewakili bekas hakim selaku plaintif selepas pengurusan kes di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh secara dalam talian hari ini.

Menurut peguam itu, mahkamah menetapkan 26 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya bagi defendan-defendan memaklumkan sama ada mereka bersetuju untuk menyelesaikan kes itu secara mediasi.

“Pada pengurusan kes hari ini, Peguam Persekutuan M. Kogilambigai (peguam defendan) memaklumkan mahkamah memerlukan lebih masa kerana perlu berbincang dengan pihak berkepentingan lain. Kami (plaintif) tiada bantahan untuk memberi lebih masa kepada defendan,” kata Christopher.

Terdahulu pada 14 Februari lalu, mahkamah mencadangkan pihak terlibat menyelesaikan kes saman itu melalui proses mediasi dan pihak plaintif bersetuju mengenai perkara tersebut.

Dalam saman yang difailkan pada 24 Januari lalu, plaintif-plaintif ialah bekas Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, bekas Hakim Besar Malaya Tan Sri Siti Norma Yaakob dan Tan Sri Haidar Mohamed Nor, bekas Hakim Mahkamah Rayuan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof, yang juga bekas Speaker Dewan Rakyat.

Mereka menamakan kerajaan, Perdana Menteri, Jemaah Menteri dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai defendan pertama hingga keempat.

Kesemua plaintif memohon deklarasi bahawa kegagalan untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain bagi setiap plaintif mengikut Seksyen 15B(2) Akta Saraan Hakim 1971 (Akta 45) melalui perintah dalam Warta melanggar Perkara 125(7) dan 125(9) Perlembagaan Persekutuan.

Mereka memohon perintah bahawa defendan kedua atau ketiga (Perdana Menteri dan Jemaah Menteri) hendaklah menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk menetapkan peratusan kenaikan lebih tinggi daripada dua peratus setiap tahun yang sesuai ke atas pencen dan faedah lain diberikan kepada setiap plaintif berkuat kuasa dari 1 Julai 2015 mengikut Seksyen 15B(2) akta tersebut. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI