PERMAINAN di jaring pada penghujung set ketiga nyata menjadi kelebihan buat pemain India, Lakshya Sen bagi menewaskan perseorangan lelaki No.1 negara, Lee Zii Jia pada separuh akhir kejohanan badminton Seluruh England (All England) malam kelmarin.
Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Utilita, Birmingham itu, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan 13-21, 21-12, 19-21, sekali gus gagal untuk mempertahankan kejuaraan yang dimenangi tahun lalu.
Zii Jia tanpa berselindung mengakui pemain India itu memiliki permainan lebih baik di jaring pada penghujung set penentuan sehingga membolehkan dia mengutip mata demi mata sebelum memastikan kemenangan.
“Pada aksi set penentuan, ketika mendahului 17-16 saya rasa mula hilang fokus dan dia (Sen) adalah pemain yang menggunakan corak permainan rali, jadi perlu sabar berdepan dengannya.
“Beberapa mata terakhir menyaksikan kami banyak bermain di jaring dan dia mendapat fokus serta lebih berani, jadi kelebihan menjadi miliknya untuk memenangi perlawanan tersebut,” kata pemain No.7 dunia itu.
Pada masa sama, pemain berusia 24 tahun itu menjelaskan Sen nyata memiliki stamina lebih baik untuk bertahan dalam perlawanan yang memakan masa lebih sejam itu.
Selain itu, Zii Jia juga tetap berpuas hati dengan aksi keseluruhan yang ditampilkan sepanjang kejohanan tersebut biarpun tidak dapat mempertahankan gelaran All England.
“Memang Sen bermain sangat baik sejak kebelakangan ini dan saya akui dia lebih cergas untuk bermain seperti itu. Selepas ini, saya akan pulang ke Malaysia dan buat persiapan untuk kejohanan Terbuka Korea,” ujarnya.