KUALA TERENGGANU – Perbuatan jijik seorang pemuda memperkosa adik perempuan kandungnya sehingga melahirkan anak dua tahun lalu berbalas selepas dijatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 30 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Nooriah Osman memerintahkan demikian selepas tertuduh berusia 21 tahun membuat pengakuan bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dihadapinya.
Beliau menjatuhi hukuman penjara 14 tahun dan 10 sebatan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan hukuman jel tersebut berjalan serentak bermula dari tarikh jatuh hukum.
Mengikut pertuduhan pertama, pemuda itu didakwa memperkosa adik kandungnya yang ketika itu berusia 14 tahun lapan bulan di sebuah rumah di daerah ini pada Disember 2020.
Tertuduh didakwa mengulangi perbuatan sama terhadap mangsa sebanyak dua kali lagi pada Januari 2021 di lokasi sama.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan minimum 10 sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Intan Nor Hilwani Mat Rifin dan tertuduh tidak diwakili peguam. – KOSMO! ONLINE