IPOH – Operasi membawa turun mayat pendaki warga emas, Lau Sam, 84, yang dilaporkan hilang dekat kawasan hutan di Puncak Jelapang di sini selesai awal pagi tadi.
Komander operasi bomba, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mayat mangsa berjaya dibawa turun dan tiba di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) sekitar pukul 3 pagi.
Katanya, mayat warga emas itu dibawa turun menggunakan ‘sked stretcher’ oleh anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (STORM) dibantu anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya setelah menempuh perjalanan kira-kira 12 jam.
“Pasukan penyelamat menempuh perjalanan mencabar kerana lokasi mangsa dijumpai oleh malim gunung di dalam sungai pada ketinggian lebih 500 meter dari aras laut selain laluan yang sempit, curam dan berbukit.
“Malah, kesukaran utama adalah semasa membawa mangsa dari tepi sungai untuk menaiki lereng bukit ke laluan asal pada ketinggian 650 meter. Bagi tugasan itu sahaja, ia memakan masa lebih dua jam,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut beliau, teknik usungan di lereng menggunakan ‘sked stretcher’ dan tali diguna pakai bagi menaikkan mangsa untuk dibawa turun ke kaki bukit.
“Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat pada pukul 3.15 pagi,” katanya.
Semalam media melaporkan, mayat lelaki warga emas itu dijumpai dua malim gunung yang menyertai operasi mencari dan menyelamat pada pukul 2.14 petang dalam keadaan tertiarap di dalam sungai.
Menerusi laporan media pada 12 Mac lalu, Lau Sam disedari hilang oleh ahli kumpulan pendaki sekitar pukul 6.30 petang pada Jumaat setelah didapati tidak tiba di kaki bukit. – KOSMO ONLINE