fbpx

Mesej keselamatan murid di bandar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG fasilitator daripada penyelidik UM mengendalikan program motivasi dengan murid sekolah yang terlibat dengan program tersebut.

ISU keselamatan terutamanya dalam kalangan pelajar sekolah rendah merupakan salah satu perkara yang harus diberi perhatian banyak pihak.

Murid-murid terutamanya yang tinggal di kawasan bandar besar sangat terdedah dengan pelbagai perkara negatif di persekitaran sehingga mengancam keselamatan mereka.

Salah satu isu keselamatan yang dikenal pasti adalah kewujudan kawasan kurang selamat serta masalah buli dalam kalangan murid terutamanya di luar sekolah.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan penyelidik dari Universiti Malaya (UM) melalui geran UMCares telah menganjurkan program Safe School, Safe Surrounding, Safe City (SSSSSC) di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Program yang diperkenalkan sejak 2019 itu bertujuan meningkatkan tahap keselamatan dalam kalangan murid sekolah rendah menerusi tiga aspek iaitu peribadi, alam sekitar dan bandar.

Salah seorang penyelidik terlibat, Dr. Yong Adilah Shamsul Harumains berkata, program tersebut diharap dapat membantu pihak sekolah menjadikan murid lebih berkeyakinan dan berminat untuk ke sekolah.

“Program ini telah bermula sejak 2019, namun banyak tertangguh ekoran Covid-19. Tujuan utamanya adalah meningkatkan tahap keselamatan murid sekolah rendah berusia antara tujuh hingga sembilan tahun.

“Golongan ini masih kurang peka dengan isu keselamatan. Menerusi program ini, kami akan mengenal pasti tahap kesedaran murid mengenai isu keselamatan di sekolah dalam bandar.

“Kemudian, kami akan memberi cadangan kepada pihak sekolah mengenai strategi bagi meningkatkan kefahaman murid berkaitan isu keselamatan terutama mobiliti seharian mereka,” terangnya kepada iGen baru-baru ini.

Program SSSSSC itu melibatkan lima buah sekolah di sekitar Lembah Klang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dato Harun 1; SK Methodist Petaling Jaya; SK Petaling Jaya Dua dan SK Seri Kelana di Selangor serta SK Bukit Pantai, Kuala Lumpur.

DR. YONG ADILAH (berdiri kiri) bersama guru-guru dari lima sekolah yang terlibat dengan program SSSSSC di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Antara aktiviti dianjurkan di bawah program tersebut adalah ceramah motivasi dan pembentukan sahsiah murid, aktiviti seni dan selamat serta pertandingan vlog safe city.

“Menerusi ceramah motivasi, murid diberi kesedaran mengenai kes buli. Aktiviti seni dan selamat pula memberi peluang kepada murid mengekspresi diri mereka di atas kertas lukisan.

“Menariknya, aktiviti ini dijayakan dengan bantuan beberapa orang kartunis.

“Pertandingan Vlog Safe City pula mengajar murid mengenal pasti masalah keselamatan di dalam bandar.

“Masalah yang dikenal pasti tadi akan diketengahkan kepada pihak berkuasa tempatan dalam usaha menambah baik aspek keselamatan di kawasan terbabit,” terangnya yang juga pensyarah di Fakulti Alam Bina, UM.

Dalam pada itu, program tersebut turut mengetengahkan jawatan Wira Anzen (selamat) dalam kalangan murid di setiap sekolah terlibat.

Seramai 10 orang murid dipilih di setiap sekolah bagi menyebarkan mesej mengenai keselamatan.

Jelas Dr. Yong Adilah, pihaknya percaya mesej berkaitan keselamatan lebih mudah diterima dan dipraktikkan murid sekiranya diberikan oleh rakan sebaya.

“Wira Anzen ini akan memainkan peranan sebagai pemberi maklumat berkaitan isu keselamatan kepada murid. Tugas mereka berbeza sama sekali dengan tugas pengawas sekolah yang sedia ada,” terangnya.

Dia menambah, sebuah bengkel turut diadakan kepada Wira Anzen bagi memberi ceramah kepada mereka mengenai keselamatan jalan raya di sekolah dan modul perlindungan diri.

Tegasnya, murid yang mengikuti bengkel berkenaan diberikan sijil pengiktirafan Wira Anzen sebelum diangkat sebagai rakan rujuk di sekolah masing-masing.

“Wira Anzen ini mendapat maklum balas sangat baik daripada pihak sekolah dan guru-guru. Mereka beritahu, pengajaran berkaitan isu keselamatan di sekolah sangat terhad.

“Justeru, Wira Anzen boleh membantu menyebar luaskan lagi maklumat ini, sekali gus meningkatkan lagi kefahaman dan kesedaran murid mengenai isu keselamatan di sekeliling mereka,” terangnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI