KUALA TERENGGANU – Seramai 172 murid tahun satu dan 25 murid prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Pusat Chabang Tiga di sini ceria apabila kehadiran mereka pada hari pertama persekolahan hari ini disambut oleh maskot Tom & Jerry.
Mereka yang dihantar ibu bapa dan penjaga masing-masing seawal pukul 6.30 pagi teruja memasuki alam persekolahan.
Salah seorang bapa, Sulaiman Abdullah, 34, berkata, kemasukan pelajar termasuk anak sulungnya, Siti Sarah, 7, berjalan lancar dengan dibantu dua anggota polis.
Menurutnya, anaknya yang begitu teruja untuk bersekolah dan bertemu rakan baharu bangun seawal pukul 5 pagi.
“Walaupun agak risau dengan penularan Covid-19, saya yakin dengan persiapan dilaksana pengurusan sekolah selain telah mengingatkan anak agar sentiasa mengamalkan kebersihan.
“Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan pihak sekolah juga banyak membantu hari ini terutama dengan kehadiran maskot bagi menarik minat murid-murid,” katanya ketika ditemui di SK Pusat Chabang Tiga di sini hari ini.
Terdahulu, Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu (Menjalankan Tugas), Awi Salleh melakukan tinjauan pengoperasian hari pertama persekolahan di sekolah berkenaan.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, seramai 22,617 murid tahun satu memulakan persekolahan penggal baharu sesi 2022 secara bersemuka tanpa penggiliran di 281 buah sekolah rendah di seluruh negeri. – KOSMO! ONLINE