ERA globalisasi menuntut kita menjadi lebih kompetensi dengan pelbagai ilmu pengetahuan.
Sehubungan itu, tidak ada alasan untuk tidak menuntut ilmu di luar ‘keselesaan’ kita dalam meningkatkan nilai tambah diri.
Pendekatan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam institusi tahfiz contohnya mampu memberikan dimensi baharu dan penjenamaan institusi berkenaan selepas graduannya dilabel segelintir pihak hanya tahu pendidikan agama sahaja.
Malah, sekiranya dilihat dari perspektif lebih besar, TVET-Tahfiz ini sebenarnya mampu melahirkan golongan teknokrat dan huffaz profesional seterusnya mengembalikan semula kegemilangan Islam yang terkenal dengan tokoh-tokoh rujukan dalam pelbagai bidang.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim dalam ucapan pelancaran TVET-Tahfiz baru-baru ini menyatakan bahawa Islam adalah syumul iaitu agama atau sistem hidup yang menyeluruh.
“Para lepasan tahfiz yang mendapat ilmu TVET apabila memasuki perindustrian mampu menjadi da’i.
“Kita mahu lengkapkan para huffaz ini dengan ilmu kemahiran yang boleh digunakan pada masa depan selain dikenali sebagai imam atau bilal sahaja. Walaupun mengaji tahfiz tetapi boleh memasuki pasaran selaras Revolusi Perindustrian 4.0,” katanya.
Jadi, adakah graduan TVET-Tahfiz mampu menjadi gelombang baharu dalam pembangunan modal pekerja mahir negara?
Bagi Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Pekerja Berkemahiran, Mohamad Rizan Hassan, TVET menjadi pelengkap ke arah pekerja berkemahiran tinggi dan pada masa sama sebenarnya kita juga bergerak ke arah kemasyarakatan.
“Ini bermaksud kita memerlukan tenaga kerja bukan sahaja berkemahiran tetapi memiliki peribadi yang baik. Jadi, apabila tahfiz diberikan latihan kemahiran, memang industri akan beri sokongan padu.
“Perkara ini susulan mereka sudah mempunyai elemen jati diri, ketaatan, kesetiaan dan kerohanian yang kuat. Justeru, mereka bakal menjadi prospek masa depan dan rebutan industri apabila industri berhadapan dengan jati diri tenaga kerja yang agak lemah sekarang,” katanya.
Menurut Rizan yang merupakan penerima Anugerah Perdana Belia Negara 2011 dan Tokoh Belia ASEAN 2011 itu, pembelajaran TVET kepada kumpulan sasar seperti pelajar tahfiz, anak yatim dan orang kelainan upaya disifatkan penyelesaian cabaran sosial di negara ini.
Tambah beliau, TVET bukan sekadar bertujuan mewujudkan jurutera sebaliknya fungsi utamanya adalah melahirkan pakar teknologi.
“Gabungan TVET-Tahfiz ini akan mengembalikan kegemilangan Islam yang dengan mempunyai kemahiran dan pengetahuan tinggi dan sikap terpuji.
“Cuma menjadi kebimbangan kita adalah dari segi pelaksanaan. Semua orang tahu pengendali TVET di negara ini pun banyak ‘kelonggaran’, yang sedia ada pun banyak tutup sebab soal dana, urus tadbir, pertindanan kementerian,” katanya.
Rizan berkara, perlu ada operasi jelas dari segi pengoperasian pusat latihan TVET-Tahfiz itu agar kelestariannya tidak sekadar gah pada nama.
“Umum mengetahui bahawa operasi pusat tahfiz pun mengharapkan dana awam, tidak banyak pusat tahfiz profesional di negara ini. Disebabkan itu, kita khuatir sekiranya tiada bantuan dan sokongan jelas, pusat tahfiz akan terbeban dan ramai yang menjadi mangsa terutama belia-belia di situ,” tegasnya. -KOSMO! ONLINE