fbpx

Kenanga Triathlon Series janjikan cabaran luar biasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SAINGAN Kenanga Triathlon Series peringkat pertama bakal bermula di Putrajaya pada 26 Mac ini. - Foto oleh EC Pixels

KUALA LUMPUR – Cabaran Kenanga Triathlon Series 2022 kembali menemui para peminat yang menggemari aktiviti sukan lasak dan mahu menguji ketahanan diri menjelang penganjuran peringkat pertama di Putrajaya pada 26 Mac ini.

Acara sukan melibatkan tiga disiplin iaitu berenang, berbasikal dan berlari itu bakal meneruskan peringkat kedua di Melaka (5 Jun) dan ketiga, Johor (Ogos) sebelum Grand Final akan diadakan di Port Dickson pada November depan.

Pengarah Kejohanan Kenanga Triathlon Series, Eugene Chan berkata, penganjuran kali ini memberikan keistimewaan dan kelainan tersendiri.

“Peserta yang menamatkan saingan di kelompok 10 terbaik pada setiap peringkat akan memperoleh mata. Jumlah mata yang tertinggi akan mendapat gelaran ‘Triathlete Of The Year‘ dan mendapat hadiah.

“Konsep cabaran ini lebih bersifat mesra kerana semua peringkat umur boleh menyertainya berdasarkan kategori tertentu. Penganjur akan memilih peserta dengan mata tertinggi sepanjang tiga peringkat untuk dipilih ke Grand Final.

“Peringkat pertama di Putrajaya sangat istimewa kerana ia akan bermula pukul 5 petang dan dijangka berakhir sebelah malam. Kami menggelarkannya sebagai ‘Sunset Triathlon‘,” kata Eugene yang juga Pengarah EC PIXELS.

Tambahnya, berikutan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat disebabkan pandemik Covid-19, jumlah penyertaan bagi setiap peringkat dihadkan kepada maksimum 1,000 peserta sahaja.

“Objektif utama penganjuran mahu membudayakan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat. Ia juga memberi peluang khususnya kepada atlet triathlon menyertai lebih banyak pertandingan.

“Tidak mustahil juga cabaran seperti ini dapat membantu atlet-atlet triathlon negara meraih pingat pada kejohanan lebih besar seperti temasya Sukan SEA,” katanya.

Jelasnya, penganjuran acara itu juga secara tidak langsung mampu menyokong industri pelancongan tempatan yang lesu sepanjang pandemik Covid-19. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI