MACHANG – Kerajaan negeri Kelantan mengalu-alukan khidmat nasihat dan bantuan teknikal daripada kementerian berkaitan projek ekopelancongan dan bioversiti hutan dalam usaha ke arah kestabilan alam sekitar.
Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, perkara itu sejajar dengan keperluan dan matlamat kerajaan negeri bagi meningkatkan hasil dan perkhidmatan hutan melalui pelbagai aktiviti perhutanan.
Katanya, sehubungan itu, pengusaha sektor pelancongan boleh memohon dengan Jabatan Perhutanan agar hutan di Kelantan dijadikan sebagai lokasi tumpuan pelancongan.
“Kaedah itu bertujuan untuk mewujudkan lebih banyak tempat-tempat riadah yang berunsurkan ekopelancongan. Bagaimanapun, kita akan mengekal hutan simpan dan akan diuruskan secara lestari,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Negeri Kelantan di Taman Eko Rimba Bukit Bakar di sini hari ini.
Ahmad memberitahu, keindahan alam semulajadi Taman Eko Rimba mampu dijadikan tarikan pelancong dan berpotensi kerana ia bersempadan dengan Terengganu.
Beliau percaya sektor perhutanan akan terus memainkan peranan sebagai salah satu penyumbang kepada negeri Kelantan untuk masa depan. -KOSMO! ONLINE