ALOR SETAR – Keluarga Allahyarham Muhammad Adib Mohd. Kassim meminta agar orang ramai tidak menuduh mereka sebagai mata duitan kerana menerima wang pampasan RM1.5 juta daripada kerajaan.
Bapa Allahyarham, Mohd. Kassim Abdul Hamid, 66, berkata, tiada sejumlah wang di dunia ini mampu merawat rasa kehilangan terhadap Allahyarham Muhammad Adib walaupun sudah hampir empat tahun tragedi itu berlaku.
“Tiada timbang antara rasa kehilangan di hati kami sejak kematian arwah dengan wang RM1.5 juta ini. Malah, tiada nilai yang dapat menandingi nyawa arwah dan keadilan untuk kematian, pengorbanannya. Kami tahu apabila perkara ini tersebar (tentang pampasan ini), semua akan menuduh kami mata duitan kerana menerimanya.
“Namun, jauh di sudut hati, kami sentiasa berharap kematian Muhammad Adib akan terbela,” kata Mohd. Kassim kepada Kosmo! ketika ditemui di Tebengau dekat sini semalam.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan membayar pampasan berjumlah RM1.5 juta kepada keluarga anggota bomba berkenaan.
Menurut Mohd. Kassim, keluarga itu mempunyai alasan tertentu apabila membuat keputusan untuk menerima wang pampasan berkenaan yang ditawarkan kepada mereka November tahun lepas.
“Kami ada alasan kenapa menerima wang pampasan ini. Kira-kira setahun selepas kejadian kami sudah bercadang dengan peguam untuk menyaman kerajaan apabila melihat kes ini seolah-olah tiada kesudahan, kematian arwah seolah-olah tiada pembelaan.
“Kalau tindakan saman diambil, kami percaya kes akan berpihak kepada kami. Namun, tahun lepas, ada menteri bertemu saya dan berbincang tentang tawaran pampasan ini. Kami setuju untuk terima dan menarik balik semua cadangan tuntutan sama untuk membela kematian arwah,” katanya.
Di sebalik pengumuman pampasan itu, Mohd. Kassim turut melahirkan rasa ralat kerana ia dikhuatiri mendatangkan prejudis banyak pihak termasuk rakyat walaupun perkara sebaliknya dipersetujui agar mereka tidak menghebohkan perkara itu.
“Bukan semua orang sukakan kita. Apabila dipersetujui tentang tawaran ini kami juga diberitahu supaya tidak menghebohkan ia kepada sesiapa. Kami bersetuju tetapi apabila Perdana Menteri umum semalam, hati rasa tidak senang.
“Mungkin ada yang cakap wang pampasan ini untuk menutup mulut kami daripada terus bersuara tetapi hakikatnya, kami akan terus berdoa agar kematian arwah akan diadili dengan baik. Itu doa kami tidak putus-putus,” katanya.
Apabila ditanya tentang wang pampasan itu, kata Mohd. Kassim, keluarganya tidak berhasrat untuk membelanjakan wang berkenaan sesuka hati sebaliknya bercadang untuk mengadakan infaq dan sedekah atas nama arwah.
“Tengoklah kehidupan kami, masih seperti dahulu tak adalah nak beli rumah ka… kereta ka. Kami orang kampung selesa dengan kehidupan seperti biasa sahaja.
Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, meninggal dunia pada 17 Disember 2018, di Institut Jantung Negara ekoran kecederaan dialaminya dalam rusuhan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun sama. -KOSMO! ONLINE