LANGKAWI – “Ia sesuatu yang menakutkan, industri ini seperti terumbang-ambing dan saya sendiri tidak pernah merasai suasana begini.
“Sektor pelancongan sepi dan ia sedang ‘dying off’,” demikian menurut Pengurus Besar Adya Hotel, Razmi Rahmat ketika ditemui di hotel berkenaan di Kuah di sini baru-baru ini.
Menurut beliau, sepanjang tempoh berkenaan, hotel Islamik yang memiliki 207 bilik itu terpaksa memberhentikan semua pekerjanya dengan bayaran pampasan untuk membolehkan mereka meneruskan kelangsungan hidup berdepan dengan tempoh sukar.
Beliau perlu ligat mencari alternatif untuk membolehkan hotel bertaraf empat bintang itu terus memberi khidmat kepada masyarakat dalam tempoh PKP. Pihak hotel telah membuka kios, Adya Corner di hadapan bangunan 14 tingkat itu untuk menjual makanan dan minuman secara pandu lalu dan bawa pulang.
Atas idea tersebut, Adya Corner sehingga kini masih beroperasi dan mendapat sambutan daripada pengunjung khususnya pelancong.
Di sebalik kegembiraan mengalu-alukan pembukaan sempadan negara pada 1 April ini, Razmi turut menyuarakan kebimbangannya terhadap industri pelancongan negara khususnya di Langkawi.
Tambah beliau, selain perlu menjaga prosedur operasi standard (SOP) kerana angka kes positif Covid-19 yang masih tinggi, beliau juga melihat persaingan sengit negara jiran yang bakal menawarkan pakej pelancongan yang lebih menarik dan lebih murah sehingga menjadi kekangan kepada industri ini.
KOSMO!: Boleh jelaskan perkembangan terbaharu Adya Hotel?
Razmi: Bukan sahaja Adya Hotel tetapi kebanyakan hotel-hotel di Langkawi hanya mampu bertahan sahaja ketika ini. Seluruh industri sedang ‘dying off’ kerana kita bergantung kepada pelancongan domestik. Pelancongan domestik pula hanya akan rancak semasa cuti sekolah.
Kadar purata penginapan bilik di Adya Hotel sekarang adalah kira-kira 40 peratus. Kami juga tidak boleh menawarkan harga bilik seperti sebelum pandemik. Sekarang kadar harga yang ditawarkan adalah dari RM199 semalam berbanding dulu kita boleh jual pada harga sehingga RM299 semalam. Melihat kepada trend semasa, kita memerlukan masa hampir dua tahun untuk kembali pulih sepenuhnya.
Berapa peratus pelancong antarabangsa menyumbang kepada jumlah pelancong di Langkawi?
Pelancong domestik hanya menguasai purata 40 peratus dan ia tertumpu apabila musim cuti sekolah dan musim perayaan sahaja, bakinya pula adalah daripada pelancong antarabangsa. Pelancong luar negara melancong sepanjang tahun.
Bagaimana Adya Hotel berdepan dengan cabaran getir sepanjang tempoh pandemik dua tahun lalu?
Dengan izin Allah kami telah memberhentikan seramai 184 orang kerana mereka telah memderita selama setahun, sebelum itu kami memanfaatkan Program Subsidi Upah oleh Perkeso.
Saya sangat sedih melihatkan keadaan mereka. Mereka tidak bekerja dan mereka dibenarkan mengambil cuti tanpa gaji. Semasa Perintah Kawasan Pergerakan (PKP), sehari cuma ada lima bilik yang ditempah. Jadi saya telah berbincang dengan pihak lembaga pengarah dan memutuskan untuk memberhentikan mereka dan membayar pampasan kepada pekerja.
Ada yang dapat RM10,000 dan juga RM15,000, jadi dengan duit tersebut dapatlah mereka berniaga secara kecil-kecilan untuk meneruskan kehidupan.
Apabila ekonomi mula dibuka semula dan industri perhotelan kembali aktif, adakah pihak hotel mengambil bekas pekerja semula?
Kami kini memiliki 68 pekerja yang mana semuanya adalah part time kerana kami melihat industri ini belum stabil. Tetapi Adya Hotel beroperasi sepenuhnya seperti biasa walaupun ada juga hotel yang masih beroperasi 50 peratus.
Kami sebenarnya tidak pernah menutup operasi hotel ini sejak hari pertama PKP, sepanjang tempoh tersebut ada juga tempahan lima atau enam bilik daripada agensi kerajaan.
Buat masa ini, kebanyakan hotel berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja termasuk pekerja mahir.
Ramai bekas pekerja hotel rasa takut dan tidak percaya kepada industri hotel dan juga pelancongan.
Sebahagian daripada mereka lebih suka berniaga secara kecil-kecilan, jual burger, jual di online atau pun bekerja di kilang yang lebih terjamin pendapatan mereka.
Sebagai meneruskan kelangsungan operasi hotel, apa pilihan yang dibuat untuk menambah pendapatan?
Kami membuka Adya Corner iaitu kios kecil dengan membuka khemah kecil di hadapan hotel di tepi jalan untuk menjual makanan secara pandu lalu dan dibawa pulang. Sambutan yang baik diterima daripada masyarakat dengan promosi makanan dan minuman yang dibuat secara online.
Selepas kerajaan membenarkan restoran dibuka, kami membuka konsep makan-makan secara santai di Adya Corner kerana orang Malaysia suka makan di luar kawasan premis secara santai. Meskipun pendapatannya tidak banyak tetapi sekurang-kurangnya ia dapat membantu menampung membayar gaji pekerja.
Bagaimana pendapat Adya Hotel terhadap pembukaan sempadan negara bermula 1 April ini?
Kami sangat mengalu-alukan pembukaan sempadan negara dan berharap inisiatif ini akan membantu memulihkan industri pelancongan yang sangat terjejas sejak dua tahun lalu.
Namun, semua pemain dalam industri ini perlu mengutamakan SOP untuk menjaga tahap kesihatan pengunjung kerana kes Covid-19 masih tinggi. Namun, dalam kegembiraan menyambut pembukaan sempadan, kita tidak tahu ke mana destinasi pelancong luar negara ini, sama ada tumpuan ke Malaysia atau di negara-negara jiran lain?
Ini kerana mereka turut menawarkan pakej pelancongan lebih menarik dan lebih murah. Sehubungan itu, terdapat persaingan sengit dalam kalangan negara yang telah membuka sempadan negara dan di sini perlunya kerjasama dan perbincangan lebih lanjut untuk mempromosikan pakej pelancongan yang menarik bagi menggalakkan jumlah kedatangan pelancong luar negara sekali gus membantu memulihkan industri ini. -KOSMO!ONLINE