fbpx

Dua nelayan selamat, seorang dikhuatiri lemas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua nelayan terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki tenggelam ketika angin kuat awal pagi tadi. /FOTO IHSAN BOMBA

GEORGE TOWN – Dua nelayan terselamat manakala seorang lagi dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaiki tenggelam akibat dipukul angin kuat di perairan Pulau Kendi, di sini hari ini.

Mangsa iaitu warga tempatan, Tan Soon Gin, 36, dan warga Thailand, Pai San Chu Kaw berusia 40-an diselamatkan nelayan selepas beberapa jam kejadian berlaku pada pukul 5 hingga 6 pagi.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bayan Baru, Mohd. Awis Kharni Abdul Rahman berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 8.15 pagi dan bergegas ke Jeti Nelayan Batu Maung di sini.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi diselamatkan, bomba mendapati kedua-dua mangsa stabil meskipun salah seorang daripadanya masih trauma.

“Siasatan awal mendapati, kejadian berlaku ketika angin kuat dan mereka bertiga sedang menangkap ikan. Bot dinaiki tenggelam dan dua mangsa yang terselamat sempat memakai jaket keselamatan manakala seorang awak-awak terjatuh ke laut.

“Dua mangsa diselamatkan nelayan pantai yang berada di lokasi kejadian dan dibawa ke jeti Batu Maung.

“Operasi mencari dan menyelamat seorang lagi rakan mereka sedang dijalankan dan keadaan laut ketika ini sedikit bergelora,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.- KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI