fbpx

Buang khayal berhimpun, sekarang masa untuk bekerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PERWAKILAN PAU 2021 perlu segera memenangi hati pengundi termasuk belia bagi memastikan UMNO, BN terus kekal relevan.

Saudara pengarang,

SELAKU orang lama, saya memerhatikan secara dekat Perhimpunan Agung UMNO (PAU). Setiap ucapan daripada perwakilan hingga ke Presiden saya amati dari rumah kerana tidak berpeluang dipanggil berhimpun. Sekadar ahli biasa.

Boleh dikatakan PAU merupakan perhimpunan parti politik yang amat dinantikan saban tahun baik ketika Barisan Nasional (BN) menjadi pemerintah mahupun apabila terjelepok kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14.

Tolak tepi dahulu suasana peniaga di Pusat Dagangan Putra Kuala Lumpur (WTCKL). Lebih baik kita fokus kepada hala tuju dan perancangan UMNO untuk menghadapi PRU-15 selepas menang kesemua Pilihan Raya Kecil (kecuali Sandakan) dan dua Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ucapan berkobar-kobar dan berapi keluar daripada mulut orang yang berucap. Pelbagai hujah, kata semangat dan ada kalanya penuh sinis.

Persoalannya, sejauh manakah ucapan dan nasihat itu dibawa keluar dari WTCKL untuk diterjemahkan kepada pengundi dan penyokong?

Sewajarnya kita jangan mudah lupa dengan apa yang terjadi sebelum PRU-14. Ketika itu kesemuanya berasa yakin dan sudah selesa dengan kedudukan masing-masing dan tidak mengendahkan suara akar umbi dan membakulsampahkan nasihat dan aku janji di PAU.

Apa sudah jadi dengan senarai formula yang ditulis para perwakilan untuk UMNO dan BN terus memikat hati pengundi? Sebab semua tak buat kerjalah BN tumbang selepas lebih 60 tahun menerajui kerajaan.

Namun, kita bersyukur apabila BN yang diterajui UMNO sudah mula mendapat tempat dalam kalangan rakyat selepas melihat kepincangan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) selama 22 bulan.

Kestidakstabilan kerajaan Perikatan Nasional (PN) turut melonjakkan imej UMNO dan ditambah pula dengan keputusan popular pengeluaran khas Kumpulan Wang Simpanan Pekerja.

Jujur saya katakan, pengeluaran ini tidak mungkin akan dicadangkan sekiranya PH terus melaksanakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dilakukan BN sebelum ia tumbang. Lebihan yang begitu banyak kepada negara cukup untuk membantu rakyat.

Datuk Seri Najib Tun Razak ketika Bajet 2018 berkata, hasil mewah bakal dinikmati melalui GST sehingga ia akan singgah di depan pintu-pintu rumah rakyat. Tetapi malang, ia terkandas di tengah jalan dan kesannya diterima sehingga kini.

Kepada para perwakilan sekalian, ketahuilah banyak mata orang seperti saya yang memerhatikan anda. Lakukan gerak kerja segera dan bukannya dibuai mimpi indah. Campak segera tawa riang berhimpun dan sekarang masa untuk menawan hati rakyat!

Orang lama,
Tangga Batu, Melaka

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI