fbpx

Apabila sijil Covid-19 MySejahtera ‘tidak laku’, diragui

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

JAWAB semua soalan, muat naik gambar keputusan ujian Antigen Rapid Test Kit (RTK Antigen) kendiri, terima sijil digital Perintah Pengawasan di Rumah (HSO) melalui aplikasi MySejahtera dan dapat ‘cuti’ kuarantin sekurang-kurangnya tujuh hari di rumah.

Masa yang diperlukan tidak sampai 10 minit. Begitu mudah bagi seseorang pekerja untuk mengesahkan diri mereka positif Covid-19 melalui MySejahtera.

Semua majikan pula diseru menerima sijil digital HSO dan Perintah Pelepasan Kuarantin (RO) daripada pekerja yang positif Covid-19. Kemudahan yang disediakan Kementerian Kesihatan itu bagi mengelakkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19.

Namun, terdapat segelintir pekerja yang memanipulasi laporan MySejahtera dengan memberi maklumat palsu berhubung status jangkitan Covid-19. Tindakan ini tidak mustahil berlaku, sedangkan sijil cuti sakit boleh diklonkan semata-mata mahu makan gaji buta. Tindakan segelintir si penipu terbabit yang membuat ‘onar’ ini ternyata menyusahkan pekerja-pekerja lain yang jujur.

Kebanyakan pekerja kini terpaksa mendapatkan surat rasmi daripada klinik untuk mengesahkan mereka telah dijangkiti Covid-19, bukan sekadar menunjukkan paparan skrin sijil digital berwarna merah tersebut kepada majikan atau ‘bos’ di sesebuah jabatan kerajaan.

Selagi tiada surat rasmi itu, majikan akan mengenakan cuti tanpa gaji kepada pekerjanya yang menjalani tempoh kuarantin atau mereka perlu mengambil cuti tahun. Kebiasaannya, bukan dua tiga hari, sebaliknya sehingga tujuh hari lamanya.

Tindakan itu ternyata menyusahkan pesakit Covid-19 itu sendiri yang terpaksa bersusah payah mencari klinik yang menyediakan surat rasmi itu dalam keadaan pening kepala, batuk-batuk, sakit tekak dan demam. Ini belum lagi wanita yang tidak pandai memandu, si suami terpaksa ‘cuti’ pula.

Malah, kos untuk melakukan ujian calitan juga terpaksa ditanggung pesakit terbabit. Kadar yang dikenakan bagi ujian RTK Antigen adalah antara RM30 hingga RM80 seorang.

Sedangkan jika ujian dilakukan secara kendiri, kos tidak sampai RM10 dan hanya boleh dilakukan di rumah, cuma beza pesakit itu hanya dapat sijil digital HSO dan RO yang ‘tidak laku’ bagi sebahagian majikan yang mahukan surat rasmi daripada klinik.

Majikan sama ada swasta atau kerajaan perlu ada cara tersendiri bagi mengesahkan pekerja mereka dijangkiti Covid-19. Salah satunya meminta pekerja membuat rakaman video live ketika ujian RTK Antigen itu dijalankan.

Satu lagi cara dengan meminta pekerja melakukan ujian tersebut di bilik yang sesuai di pejabat sambil disaksikan sendiri oleh petugas khas.

Sebenarnya pelbagai cara boleh digunakan untuk menangani isu pemalsuan maklumat dalam MySejahtera.

Jangan hanya kerana seorang dua pekerja menipu, orang lain yang turut terkena tempias. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI