JIKA sebelum ini, dia memang seorang pendengar setia stesen radio Suria FM terutamanya segmen popular, Suria Cinta.
Bermula dari situ, pengacara Anna Aljuffrey mula memasang impian untuk menjadi sebahagian daripada keluarga Suria FM sebelum hasrat tersebut akhirnya terlaksana baru-baru ini.
Anna atau nama lengkapnya Syarifah Nur Farhana Syed Talib kini menggalas tanggungjawab mengendalikan segmen Suria Pagi Show Bersama Anna J yang ke udara bermula 19 Mac lalu.
Segmen kendalian wanita berusia 31 tahun itu bersiaran setiap Sabtu dan Ahad pada pukul 6 hingga 10 pagi.
Tak tolak tuah
Kata Anna J, saat dihulurkan tawaran menjadi sebahagian keluarga besar stesen radio berkenaan, dia tidak mengambil masa yang lama untuk menerimanya.
“Memang menjadi impian saya untuk menyertai keluarga Suria FM, jadi apabila diberikan tawaran menjadi penyampai di stesen tersebut, saya tidak tolak peluang yang datang.
“Di Suria FM, saya akan berusaha memenangi hati peminat setia ada dan menarik minat lebih ramai pendengar muda menerusi pengisian lebih segar dan terkini.
“Terutama menggunakan pendekatan media sosial dan segmen yang santai agar pendengar berasa lebih dekat dengan saya,” katanya.
Menganggap dirinya cukup bertuah kerana diterima baik sebagai ahli keluarga baharu Suria FM, bekas penyampai di stesen THR Gegar itu turut berharap, mendapat bimbingan oleh rakan Suria FM lain yang sudah berada dalam dalam industri penyiaran radio.
Menerusi segmen kendalian Anna J, pendengar dihiburkan dengan seleksi lagu-lagu popular 1990-an dan terkini, di samping perbincangan menarik topik dalam dan luar negara.
Bukan itu sahaja, segmen berkenaan turut memberi peluang kepada pendengar setia stesen radio tersebut berbual secara langsung mengenai topik harian dan memilih lagu kegemaran sendiri untuk dimainkan di corong radio.
Berkenaan pemilihan Anna J sebagai wajah dan penyeri baharu Suria FM, Pengurus Kanan Program Suria, Roslinda Abd. Majid atau lebih dikenali sebagai DJ Lin berkata, sudah tiba masanya stesen berkenaan menambah bilangan barisan penyampai sedia ada dalam usaha memperkukuhkan jenama Suria FM.
Selain Ajak, Fizi Ali, Suraya Borhan, Cik Piah, Rara, Tyzo dan DJ Lin sendiri, kemasukan Anna J merealisasikan impian Suria FM untuk terus menghimpunkan barisan penyampai radio berbakat, versatil dan serba boleh.
“Selain menawarkan kandungan siaran lebih bervariasi, kali ini Suria FM turut memberi tumpuan terhadap segmen pada hujung minggu dalam usaha menambat hati pendengar sedia ada, termasuk baharu serta pihak penaja.
“Pemilihan Anna J amat bersesuaian dengan misi Suria FM pada tahun 2022.
Berbekalkan pengalaman di samping gaya penampilan tersendiri, kehadirannya dilihat mampu melengkapkan percaturan strategi radio kami untuk bersaing secara proaktif dan agresif.
“Segmen Suria Pagi Show Bersama Anna J tentunya menceriakan hujung minggu pendengar dengan kandungan lebih segar, informatif dan interaktif,” katanya.
Sementara itu, orang ramai masih berpeluang merebut sebahagian wang tunai berjumlah RM80,000 dengan hanya meneka nama lagu dan penyanyi menerusi peraduan Berwang Suria Celllora sehingga 1 April depan.
Dengarkan klip audio Berwang Suria Celllora dalam lagu-lagu yang dimainkan sepanjang hari bermula pukul 6 pagi menerusi segmen Team Pagi Suria, Gaya Suria, Muzik Top Suria, Suria Petang dan Suria Cinta.
Selepas mendengar isyarat memanggil, hantarkan butiran peribadi seperti nama, nombor kad pengenalan, alamat emel dan #BerwangSuriaCelllora ke WhatsApp Suria, 017-8961053.
Bukan itu sahaja, pendengar juga boleh memenangi RM150 menerusi peraduan Teka Abear Karok dalam media sosial Suria Malaysia sehingga 3 April.
Sebarang maklumat dan perkembangan terkini, layari laman web Suria dan laman sosial Facebook, Instagram dan Twitter SuriaFMMalaysia.