PETALING JAYA – Ibu kepada penyanyi Ryan Deedat, Tengku Hanasiah Tengku Zainal Mulok menghembuskan nafas terakhir sekitar pukul 2.30 pagi semalam akibat angin ahmar.
Ryan yang berkongsi berita duka tersebut menerusi Instagram memberitahu, ibunya meninggal dunia pada usia 66 tahun selepas lima tahun menderita penyakit terbabit.
“Assalamualaikum ibu saya Tengku Hanasiah Tengku Zainal Mulok telah kembali ke rahmatullah pada jam 2.30 pagi tadi (semalam).
“Terima kasih buat semua yang telah mendoakan untuk mama saya. Saya berada dengan dia dari pertama kali dia sakit sampailah hembusan nafas terakhir,” tulisnya.
Tambah Ryan atau nama sebenarnya Sheikh Eamir Deedat, 30, jenazah ibunya telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah, Gombak selepas waktu asar petang semalam.
“Jenazah selamat disolatkan di Masjid Al-Khairiyah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Al-Khairiyah semalam.
“Arwah kakak dan adik saya juga dikebumikan di sini tempat sama dengan mama bersemadi,” katanya.
Perkongsian penyanyi Salimah itu mendapat simpati pengikut dan rakan selebriti yang sama-sama mendoakan agar dia tabah menghadapi ujian getir tersebut.
Terdahulu, Ryan menerusi hantaran berbeza beberapa hari lalu memberitahu ibunya berada dalam keadaan nazak selepas mengalami beberapa komplikasi penyakit lain selain angin ahmar. – KOSMO! ONLINE