KANGAR – Seramai 45,706 pelajar di negeri ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka dan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi sesi baharu tahun 2022 hari ini.
Pengarah Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman berkata, daripada jumlah tersebut, seramai 25,865 merupakan murid sekolah rendah manakala 19,841 lagi pelajar sekolah menengah.
Katanya, sesi persekolahan di sekolah rendah melibatkan kehadiran penuh tanpa sistem penggiliran kecuali 10 daripada keseluruhan 74 buah sekolah di negeri kerana mempunyai jumlah murid melebihi 600 orang.
“Bagi 10 sekolah ini, sistem penggiliran melibatkan murid tahun 3, 4 dan 5. Sementara itu, bagi pelajar sekolah menengah pula, sesi persekolahan adalah secara PdPR selama dua minggu sehingga pada 4 April depan.
“Bagaimanapun, pelajar tingkatan lima yang bakal mengambil Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hadir dan menjalani kelas secara bersemuka seperti biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE