BARCELONA – Jurulatih Barcelona, Xavi Hernandez menegaskan, skuad kendaliannya tidak boleh berasa terlalu selesa menjelang aksi El Clasico menentang Real Madrid dalam saingan La Liga di Santiago Bernabeu awal pagi esok.
Ramai berpendapat The Catalans berada dalam keadaan terbaik ketika ini selepas berjaya melayakkan diri ke suku akhir Liga Europa dengan menewaskan Galatasaray 2-1 kelmarin.
Biarpun mengakui skuad kendaliannya menunjukkan peningkatan ketara sejak beliau mengambil alih pasukan itu, namun Xavi menegaskan ia bukanlah jaminan untuk mereka meraih tiga mata bertemu Real nanti.
“Ya, memang kami berada dalam kondisi terbaik bagi menghadapi saingan El Clasico nanti. Bagaimanapun, ia tidak membawa sebarang makna kerana perlawanan itu nanti sangat berbeza.
“Sudah banyak kali saya berdepan situasi seperti ini. Bermain baik tetapi tewas dan kadang-kadang kami menang walaupun tidak menampilkan aksi terbaik kerana El Clasico sangat berbeza,” katanya.
Xavi yang juga legenda Barcelona memberitahu, beliau juga tidak pasti sama ada pemain pertahanan, Gerard Pique dan Sergino Dest dapat diturunkan ataupun tidak menentang Real kerana mengalami kecederaan.
“Pada penghujung perlawanan (menentang Galatasaray), dia (Pique) ada beritahu sukar untuk berlari dan saya buat keputusan mengeluarkannya. Kami perlu pantau keadaan dia dan Dest sebelum perlawanan itu nanti,” ujarnya. – AGENSI