SEREMBAN- Tujuh individu selamat selepas mereka berjaya keluar menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah dan bengkel besi di Kampung Temiang dekat sini awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba Seremban, Mohammad Idris berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 2.06 pagi dan tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.
“Setibanya di lokasi, kami mendapati terdapat sebuah rumah jenis papan dan sebuah bengkel yang terletak bersebelahan terbakar. Pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan kebakaran.
“Kami dimaklumkan terdapat tujuh orang yang telah keluar lebih awal untuk menyelamatkan diri dalam kebakaran ini.” katanya ketika dihubungi.
Menurut Mohamad, kebakaran telah menyebabkan Rumah tersebut musnah hampir 90 peratus manakala bengkel terbabit musnah sama sekali.
“Punca dan kerugian masih dalam siasatan,” katanya. -KOSMO! ONLINE