SEREMBAN – Seorang pemuda terpaksa melupakan kehidupan sempurna seperti orang lain selepas dia hanya terlantar di atas katil akibat kemalangan jalan raya yang hampir meragut nyawanya pada Januari lalu.
Fendy Manshor, 20, yang merupakan anak bongsu daripada enam beradik itu kini berada dalam keadaan separuh sedar selepas tempurung kepalanya pecah menyebabkan dia tidak boleh memberikan sebarang reaksi.
Kakak sulungnya, Nurfazlin Manshor, 34, yang bertanggungjawab menjaga Fendy berkata, kemalangan berlaku di Lebuh Raya Utara-Selatan dekat Kulaijaya, Johor ketika adiknya yang menunggang motosikal dalam perjalanan pulang ke rumah keluarga di Felda Palong 12, Jempol.
“Adik hilang banyak darah disebabkan kepalanya terhentak di batu selepas topi keledar yang dipakainya tercabut, malah orang awam yang berada dilokasi mendakwa keadaan adik seperti 50-50 untuk hidup.
“Dia kemudian dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru dan tempurung kepala di bahagian kiri terpaksa dikeluarkan selain tulang pipi kirinya pecah,” katanya ketika ditemui rumahnya di Taman Bukit Kristal di sini baru-baru ini.
Katanya lagi, doktor turut memaklumkan mata kiri adiknya mengalami kerosakan pada saraf dan berisiko untuk buta.
“Adik menerima rawatan di hospital berkenaan lebih kurang dua minggu sebelum dipindahkan ke Hospital Tuanku Ja’afar, Seremban dan kini dijaga oleh saya serta ibu kerana di sini lebih dekat dan mudah ke hospital jika berlaku kecemasan.
“Adik pula hanya terlantar dan tidak boleh bergerak malah tidak memberikan sebarang reaksi apabila dipanggil ataupun disentuh. Kami perlu beri perhatian penuh kepadanya dan berharap ada keajaiban untuk dia kembali sembuh,” katanya.
Dalam pada itu, Nurfazlin melahirkan rasa syukur apabila ada pihak tampil membantu antaranya Baitulmal Negeri Sembilan yang memberikan bantuan bekalan susu khas selama setahun dan sumbangan lampin pakai buang serta bakul makanan daripada Exco Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan bagi meringankan beban keluarga Fendy boleh menghubungi Nurfazlin di talian 017-224 9176 atau salurkan menerusi akaun Maybank 105176019114 (Nurfazlin Mashor).