fbpx

Senarai pembida Chelsea lengkap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERRY juga dilaporkan berminat untuk menyertai pasukan pemilik baharu Chelsea dengan cuba mendapatkan 10 peratus saham. – AFP

LONDON – Proses bidaan penjualan kelab Chelsea berakhir kelmarin dan senarai pendek melibatkan empat calon pembida sahaja akan dikeluarkan bermula minggu depan.

Reine Group merupakan entiti yang diberikan tanggungjawab untuk menjalan proses ber­kenaan selepas kelab itu perlu segera dijual untuk mengelak krisis kewangan selepas pemiliknya, Roman Abramovich dikenakan sekatan oleh Kerajaan United Kingdom (UK) ekoran peranannya membantu Presiden Rusia, Vladimir Putin yang menyerang Ukraine.

Semua pihak yang berhasrat untuk memiliki kelab berkenaan telah menghantar segala dokumen yang diperlukan selain mereka juga perlu mengemukakan pelan untuk memastikan Chelsea terus menjadi pasukan yang lebih baik.

Beberapa tokoh bilionair se­perti Todd Boehly, Woody Johnson, Nick Candy dan Saudi Media Group yang disebut-sebut sebagai calon pemilik baharu kelab itu juga sudah menghantar bidaan mereka.

Dalam pada itu, sejam sebelum proses bidaan ditutup, sebuah syarikat pengurus sukan dari Korea Selatan, C&P Sports Limited yang berpangkalan di Fulham Road turut mengemukakan tawaran mereka.

Selain itu, bekas kapten Chelsea, John Terry yang mengetuai sebuah konsortium dikatakan turut berminat untuk menjadi antara pemilik terbaharu kelab itu.

Bagaimanapun, ‘pasukan’ Terry dikatakan hanya mahu mendapatkan 10 peratus sahaja saham kelab berkenaan yang bernilai £250 juta (RM1.38 bilion) kerana tidak mampu untuk mendapatkan pemilikan penuh.

Terry bersama bekas pemain wanita Chelsea, Claire Rafferty bekerjasama dalam sebuah konsortium yang dikenali sebagai True Blue turut mendapat sokongan daripada penderma untuk Parti Konservatif di UK, David Meller; pemilik syarikat media online iTech Media, Harley Kisberg dan pakar pelaburan, Stanford Loudon. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI