PUTRAJAYA – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) membantah dan kesal atas penularan satu klip yang dipercayai adegan sebuah drama yang bakal ditayangkan kelak kepada umum.
Ketua Pegawai Eksekutif Yadim, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh berkata, pihaknya percaya penularan klip itu dibuat si penular bagi tujuan publisiti walaupun dengan cara negatif.
Katanya, semua penggiat seni soal bertanggungjawab terhadap mesej yang ingin disampaikan kerana karya seni dan hiburan akan menjadi cerminan kepada masyarakat terutama sekali golongan muda.
“Pelakon, pengarah, penerbit dan semua yang terlibat dalam pembikinan sesuatu karya seni pasti mengetahui bahawa sebagai hamba Allah akan dipersoal dan diberi balasan atas setiap yang kita tinggalkan ketika hayat kehidupan ini.
“Yadim juga menggesa pihak berkuasa dalam bidang penyiaran dan media memainkan peranan proaktif dalam membendung sebarang bentuk penyiaran media yang boleh menjejaskan akhlak penonton serta memberi imej buruk kepada negara,” katanya hari ini.
Pada masa sama, Yadim menyeru seluruh lapisan masyarakat terutamanya ibu bapa untuk menggunakan kuasa sebagai pengguna media bagi menentang bahan-bahan hiburan yang secara jelas merosakkan nilai murni ingin disemai kepada anak-anak.
Yadim turut mengingatkan kepada pihak yang terlibat, negara baru melangkah keluar dari pelbagai ujian dan bala yang melanda di samping saban waktu merayu bantuan daripada Allah SWT.
Justeru, katanya, adakah wajar pihak terlibat mengangkat babak berunsur lucah atas nama hiburan sebagai hidangan kepada masyarakat.
“Rahmat siapa sebenarnya yang kita tagih sebelum ini? Menjelang Ramadan yang akan menjengah kurang dari dua minggu lagi, kita sewajarnya menumpukan usaha untuk meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT.
“Ketaqwaan yang menjadi sasaran dalam ibadah puasa nanti merupakan prasyarat dalam memperoleh keberkatan dari langit dan bumi sepertimana janji Allah dalam al-Quran,” katanya. – KOSMO! ONLINE