KUALA LUMPUR – Polis berjaya melumpuhkan kegiatan pelacuran yang berselindung di sebalik hotel bajet menerusi dua serbuan di Batu 6, Jalan Ipoh dan Sentul Baru, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, serbuan itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Sentul dalam serbuan berasingan pada pukul 4 petang dan 4.45 petang semalam.
“Hasil serbuan kita berjaya memberkas dua wanita warga asing berusia 25 dan 31 tahun kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pelacuran tersebut.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua wanita itu menggunakan hotel bajet bagi menjalankan servis pelacuran yang disyaki beroperasi sejak dua minggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Eng Lai, polis turut merampas kondom pelbagai jenama, kad akses bilik hotel, tisu basah, minyak urut dan minyak pelincir.
“Kesemua suspek kini ditahan selama 14 hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut dan semakan rekod mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 372(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak mempunyai permit yang sah,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE