fbpx

Polis buka kertas siasatan video tular menyamar penarik kereta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR dan video tular mendakwa sekumpulan lelaki menyamar sebagai penarik kereta di Bentong.

BENTONG – Polis telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat sebuah rakaman video yang tular memaparkan seorang individu mendakwa didatangi sekumpulan lelaki yang dikatakan menyamar sebagai penarik kereta di sebuah stesen minyak berhampiran Plaza Tol Bentong di sini tiga hari lalu.

Dalam rakaman yang dimuat naik dalam Facebook ‘Pengutip Besi Burok’ pada 16 Mac lalu itu, mangsa berumur 40 tahun yang berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak mendakwa didatangi dua lelaki yang menyatakan kereta dinaikinya tertunggak hutang bank tanpa menunjukkan surat daripada bank.

Lelaki tersebut kemudian membawa mangsa ke sebuah kereta yang terdapat dua lagi lelaki untuk menunjukkan nombor keretanya di dalam komputer riba tanpa memaparkan apa-apa maklumat terperinci keretanya yang didakwa tertunggak hutang bank.

Ketua Polis Daerah Bentong Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, polis telah menerima aduan daripada kedua-dua belah pihak dan siasatan sedang giat dilakukan.

“Dalam Facebook tersebut lelaki warganegara tempatan yang berusia 40 tahun menyatakan semasa berhenti mengisi minyak di sebuah stesen minyak berhampiran Plaza Tol Bentong dia didatangi empat lelaki berusia 25 hingga 42 tahun memaklumkan pengadu belum melunaskan ansuran bulanan kereta miliknya.

“Pengadu menafikan perkara tersebut dan meminta surat penarikan kenderaan daripada pihak bank namun keempat-empat lelaki berkenaan tidak dapat menunjukkan bukti surat tersebut,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zaiham pihak polis turut menerima laporan daripada kumpulan lelaki berkenaan pada hari yang sama dan polis telah merakam percakapan kedua-dua pihak.

Justeru siasatan giat dilakukan dan orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden ini termasuklah komen-komen yang berunsurkan perkauman.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Bentong atau mana-mana balai polis berdekatan,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI