fbpx

Piala Vivian May Soars kekal milik KPT-Uniten

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BARISAN pemain KPT-Uniten berjaya mempertahankan gelaran Piala Vivian May Soars buat tahun ketiga berturut-turut. - MHC

KUALA LUMPUR – KPT-Uniten Thunderbolts berjaya mempertahankan kejuaraan Piala Vivian May Soars buat kali ketiga berturut-turut.

Kejayaan itu hadir selepas KPT-Uniten berjaya mencipta kejutan menewaskan juara baharu Liga Hoki Malaysia (MHL) wanita musim ini, Negeri Sembilan 2-1 pada aksi final di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil hari ini.

Menariknya, skuad bimbingan Lailin Abu Hassan itu ketinggalan terlebih dahulu kepada Negeri Sembilan seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti Liyana Aqilah Mohd. Sepawi.

Bagaimanapun, KPT-Uniten tidak menyerah kalah terlalu awal apabila bangkit menguasai permainan sehingga berjaya memperoleh gol penyamaan melalui jaringan padang Nurmaizatul Hanim Syafi Sheik Fuad pada minit ke-32.

ARFAH (tengah) meledak gol kemenangan KPT-Uniten menewaskan Negeri Sembilan pada final Piala Vivian May Soars di Stadium Hoki Nasional hari ini. – MHC

Kealpaan barisan pertahanan Negeri Sembilan sekali lagi dihukum apabila kali ini giliran penyerang kebangsaan, Siti Nor Arfah Mohd. Nor meledak gol kedua KPT-Uniten pada minit ke-44.

Gol menarik menerusi percubaan kilas itu membolehkan Arfah diangkat sebagai wira kemenangan KPT-Uniten sekali gus dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir.

“Perancangan kami hari ini memang bermain bermati-matian untuk memenangi perlawanan final ini. Kami berjaya mengikut setiap arahan jurulatih untuk memastikan kemenangan ini milik kami,” kata Arfah selepas tamat perlawanan.

PARA pemain Sabah meraikan kejayaan mereka meraih tempat ketiga Piala Vivian May Soars selepas menewaskan skuad pembangunan negara 2-0 petang tadi. – MHC

Sementara itu, Sabah berjaya menaiki podium sebagai pemenang tempat ketiga selepas menewaskan skuad pembangunan negara 2-0 menerusi gol-gol daripada Nur Hafizah Maznan dan Putri Nur Batrisyia Nor Nawawi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI