BAGAN SERAI – Mayat seorang pemuda orang kelainan upaya (OKU) yang sebelum ini dipercayai lemas ditemui di jeti Kampung Tepi Kolam, Bukit Merah di sini petang tadi.
Mangsa, Raja Edinas Raja Mohamad yang berusia lingkungan 20-an dikatakan lemas semasa mandi manda bersama rakan di jeti tersebut.
Jurucakap Bilik Gerakan Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Perak memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 2.01 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Serai telah dikerah ke lokasi kejadian bagi memberi bantuan kecemasan.
“Anggota bomba telah melakukan pencarian di kawasan permukaan tasik.
“Mangsa ditemui pada pukul 2.40 petang kira-kira lima meter dari jeti pada kedalaman 3.6 meter,” ujar jurucakap tersebut. – KOSMO! ONLINE.