PUTRAJAYA – Pautan janji temu baharu dos kedua bagi Program Imunisasi Covid-19 Kanak-kanak (PICKids) akan dihantar ke aplikasi MySejahtera secara berperingkat bermula esok.
Menurut ciapan Twitter MySejahtera, ia akan dihantar berdasarkan sela masa (interval) antara dos pertama dan kedua mengikut jenis vaksin.
“Pautan janji temu ini juga membenarkan anda memilih lokasi Pusat Pemberian Vaksin (PPV), masa dan tarikh mengikut kelapangan anda,” menurut ciapan tersebut di sini hari ini.
Berdasarkan lampiran gambar yang dimuat naik, bagi dos kedua Pfizer, sela masa lapan minggu selepas dos pertama manakala untuk Sinovac pula, sela masa empat minggu selepas dos pertama.
“Pautan janji temu akan dihantar lebih kurang dua minggu sebelum tarikh dos kedua diberikan.
“Sebagai contoh, dos pertama vaksin Pfizer diambil pada 1 Mac dan pautan janji temu dihantar pada 12 April manakala, tarikh dos kedua pada 26 April,” berdasarkan maklumat tersebut.