MASALAH padang di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dijangka selesai sepenuhnya pada tahun 2023 selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim bersetuju untuk menyumbangkan dana RM1.4 juta.
Tunku Ismail berkata, projek padang baharu menggunakan rumput zeon zoysia dijangka bakal dibuat pada awal Januari depan dengan jangkaan siap sepenuhnya dalam tempoh empat bulan kemudian.
“Pandangan saya kita perlu ada padang yang baru lebih berkualiti kerana berdasarkan apa yang saya lihat, keadaan sekarang agak memalukan sedangkan negara-negara jiran sudah pun menukar padang stadium mereka.
“Bagaimanapun, disebabkan SNBJ sudah memiliki banyak komitmen serta acara yang perlu dipenuhi tahun ini, kita bersetuju untuk memulakan projek menukar padang pada Januari tahun depan.
“Buat masa sekarang, jumlah sumbangan yang saya berikan sekitar RM1.2 juta hingga RM1.4 juta tetapi jika ada rezeki, ia mungkin akan bertambah memandangkan ada penambahbaikan daripada sistem saluran air selain menambah mesin verti-drain,” katanya pada sidang akhbar semalam
Tunku Ismail yang juga pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) berkata demikian ketika ditemui ketika melawat SNBJ yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mengulas lanjut, Tunku Ismail turut mengakui berharap keputusan untuk mengubah padang SNBJ dapat memberikan ‘efek domino’ buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) atau pihak kerajaan negeri untuk mengubah padang di stadium masing-masing.
“Saya sudah suarakan masalah padang sejak lima tahun lepas, bila lagi jika saya tidak membantu melakukan perubahan kalau bukan sekarang. Saya harap kelab-kelab lain mengambil inisiatif yang sama.
“Ini kerana Malaysia sahaja yang masih belum berkembang daripada aspek padang sedangkan kos penyelenggaran tidak besar hanya RM240,000 setahun. Buat masa ini hanya JDT dan Terengganu FC yang memiliki kualiti padang yang baik,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Faizal mengakui bersyukur dengan sumbangan yang diberikan oleh Tunku Ismail cukup penting selepas isu kualiti padang SNBJ menjadi perbualan sejak sekian lama.
“Kami menyambut baik hasrat Tunku Ismail untuk memberikan sumbangan untuk menukar padang SNBJ. Pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) dan kerajaan akan bekerjasama rapat dengan pasukan penyelia padang dengan proses itu bermula sekarang,” katanya.