fbpx

Norris akui jentera menjadi halangan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NORRIS (kanan) percaya dia mampu untuk mencabar kejuaraan dunia jika memiliki jentera yang sempurna. – AFP

MANAMA – Pelumba utama McLaren, Lando Norris meng­akui sudah tiba masanya untuk dia menunjukkan ‘kematangan’ sebenar dengan bersaing bersama jaguh dunia dalam perebutan kejuaraan Formula Satu (F1) menjelang aksi pembuka tirai pada Grand Prix (GP) Bahrain malam ini.

Bagaimanapun, jaguh lumba kelahiran Britain itu mengakui pasukannya masih belum memiliki jentera yang ampuh dalam usaha merebut kejuaraan dunia dengan meletakkan pilihan utama musim ini kepada pasukan Red Bull.

Kata Norris, di atas kertas, pasukan Red Bull cukup bersedia sepenuhnya terutama ketika kempen F1 musim ini memiliki peraturan baharu yang boleh menyukarkan juara bertahan, Mercedes untuk mendominasi kategori pengeluar seperti selalu.

“Berdasarkan apa yang saya lihat pada ujian pramusim yang lepas, Red Bull cukup dominan tetapi kelebihan mereka tidak terlalu jauh dengan pasukan ke­dua terbaik ketika ini, Ferrari.

“Kedua-dua pasukan ini sa­ngat konsisten dan sudah tentu apa yang akan berlaku di GP Bahrain kali ini sangat menarik untuk disaksikan memandangkan Mercedes agak bergelut dan tidak sepantas musim lalu,” kata pelumba berusia 22 tahun ini.

Mengulas mengenai sasaran peribadinya, Norris berharap dapat tampil lebih konsisten dengan mengutip sebanyak mata yang boleh memandangkan ini adalah musim keempatnya berlumba dalam kejohanan permotoran No. 1 dunia ini.

“Jika saya memiliki jentera yang pantas, sudah tentu saya boleh mencabar kejuaraan dunia. Namun, buat masa ini saya hanya mahu menggunakan pendekatan berlumba dengan bijak selain memanfaatkan setiap peluang dan ruang yang ada.

“Sudah tentu harapan saya mahu mengutip mata dan menduduki podium sebanyak yang boleh dan persaingan positif bersama jaguh dunia menjadi sasaran utama musim ini,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI