PUTRAJAYA – Kementerian Sumber Manusia (KSM) akan mengumumkan perincian mengenai mekanisme serta pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini dalam masa terdekat.
Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, KSM menyambut baik pengumuman pelaksanaan gaji minimum baharu seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
“Ini adalah selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 11 Mac lalu.
“Pengumuman ini jelas seiring dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan pendapatan serta kesejahteraan pekerja,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya, langkah ini juga dijangka memberi sumbangan positif dalam merangsang ekonomi negara melalui peningkatan kuasa beli pekerja.
Kerajaan meluluskan pelaksanaan kadar gaji minimum baharu RM1,500 sebulan mulai 1 Mei ini.
Keputusan itu bagaimanapun hanya membabitkan majikan sektor swasta yang mempunyai lima pekerja ke atas. -KOSMO! ONLINE