fbpx

Kit Siang umum bersara, Guan Eng tidak bertanding Setiausaha Agung DAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kit Siang umum bersara politik pada kongres ke-17 DAP hari ini. FOTO: ZULFADHLI ZAKI

SHAH ALAM – Veteran pemimpin DAP, Lim Kit Siang mengumumkan persaraannya dalam bidang politik hari ini selepas hampir 60 tahun dalam bidang tersebut.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri turut menyatakan tidak akan bertanding dalam pilihan raya Parlimen atau negeri di masa akan datang.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengumumkan persaraan saya daripada politik. Saya menarik diri dari bertanding dalam Jawatankuasa Tertinggi Pusat (JTP) DAP hari ini (Kongres ke-17).

“Sila padamkan nombor 39 dari senarai calon JTP anda,” katanya ketika berucap pada Kongres Parti  DAP ke-17 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), Seksyen 15 di sini, hari ini.

Kit Siang memberitahu, sepanjang 56 tahun dalam parti tersebut telah melihat bagaimana DAP telah berkembang dari sebuah parti pembangkang kecil yang mengambil bahagian pertama kali dalam pilihan raya umum tahun 1969 sehingga menjadi sebuah parti politik utama.

“Pilihan Raya Negeri Johor yang baru berlangsung merupakan satu peringatan yang penting bahawa Impian Malaysia kita yang mahu Malaysia menjadi sebuah negara bersatupadu, demokratik, adil dan berjaya yang dihormati oleh masyarakat antarabangsa merupakan satu perjuangan politik jangka panjang,” katanya.

Dalam pada itu, anaknya iaitu Lim Guan Eng dalam kongres sama turut mengesahkan tidak lagi bertanding merebut jawatan Setiausaha Agung DAP.

“Ini adalah ucapan terakhir saya sebagai Setiausaha Agung dan saya berterima kasih atas semua sokongan yang diberikan parti kepada saya.

“Saya berbangga kerana sepanjang tempoh sebagai Setiausaha Agung, DAP mentransformasi daripada bercita-cita menjadi parti pembangkang terbesar kepada bercita-cita menjadi kerajaan seterusnya,” jelasnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI