KUALA LUMPUR – Bangkit daripada menjadi mangsa pelaburan saham palsu, Doddy Eka Putra membuka PT Ulive Education Center dan ULIVE Academy yang membantu dan membimbing rakyat Indonesia tentang pasaran modal saham patuh syariah.
Sehingga kini, syarikat itu berjaya membimbing lebih 36,000 orang yang bermula daripada kosong, sehingga ramai antara mereka berjaya memperoleh pendapatan setiap minggu atau bulan hasil pelaburan.
“Sebelum ini saya pernah ditipu dan mengalami kerugian kira-kira Rp1.5 miliar atau lebih kurang RM450,000.
“Ia membuatkan saya jatuh terduduk kerana pelaburan yang diharapkan memberi keuntungan lumayan berakhir dengan kerugian besar,” cerita usahawan Indonesia ini kepada pemberita baru-baru ini.
Dalam kesedihan itu, seorang rakan dari Malaysia berkongsi video Mentor Usahawan, Datuk Wira Dr. Azizan Osman yang membuatkan beliau sedar kelemahan diri sepanjang berniaga selama 15 tahun.
Demi ilmu dan tekad tidak mahu kecundang lagi, Doddy menjual kenderaan jenis Pajero miliknya untuk mengikuti semua kelas anjuran RichWorks setiap tahun di sini, bermula 2016.
Jelasnya, Azizan dan Richworks memberi tunjuk ajar dalam pelbagai aspek perniagaan termasuk menguruskan profil syarikat dan kaedah rundingan.
“Dari garaj rumah sendiri, saya kini beroperasi di sebuah pejabat di Pakuwon Tower, di Sentral Kota Surabaya.
“Kami menyasarkan perolehan sebanyak RM15 juta untuk tahun 2022, berbanding sekitar RM117,000 pada 2018,” tambahnya yang kini berada dalam program Mentoring Titanium.