KOTA BHARU – Drama berjudul Perempuan Itu yang mencetuskan kontroversi baru-baru ini mungkin tidak akan ditayangkan di kaca televisyen sekiranya pihak produksi gagal memberikan laporan bertulis berkenaan insiden itu.
Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, sekiranya laporan yang diberikan tidak munasabah, kerajaan tidak akan membenarkan tayangan tersebut yang dikatakan bakal disiarkan semasa bulan Ramadan.
Menurutnya, semua stesen televisyen perlu menghormati bulan Ramadan malah tidak boleh menyiarkan kandungan yang kurang bersesuaian dengan bulan mulia itu.
“Kita sudah meminta produksi berkenaan mengemukakan laporan bertulis berhubung perkara berkenaan. Mereka juga telah diberikan masa yang cukup untuk menyediakan laporan tersebut.
“Sekiranya laporan itu tidak memuaskan, kita tidak benarkan stesen televisyen menyiarkan tayangan drama tersebut,” katanya selepas menyampaikan bantuan Back To School kepada pelajar tingkatan enam di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK), Peringat di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE.