fbpx

Buang perasaan ‘malu’ terima bantuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian waris yang hadir untuk memilih barang keperluan terpakai untuk anak-anak mereka di SK Seri Permai, George Town semalam. – IQBAL HAMDAN

GEORGE TOWN – Golongan ibu bapa daripada kategori T20 dan M40 di sini mengetepikan ­perasaan malu apabila turut menerima sumbangan pakaian dan peralatan sekolah terpakai untuk kegunaan anak-anak mereka.

Rata-rata mendakwa, mereka kini sudah beralih status kepada kumpulan B40 dan turut ter­desak me­nerima bantuan persekolahan sebagai langkah meri­ngankan beban berikutan berdepan masalah kewa­ngan akibat pandemik Covid-19.

Seorang pemandu ­e-hailing, Khairul Nizam Mohamad, 43, berkata, kini tiada lagi istilah menggayakan pakaian dan kelengkapan sekolah baharu pada hari pertama persekolahan buat enam anaknya, selain terpaksa mengguna semula bara­ngan sedia ada.

“Meskipun sesi persekolahan akan bermula Isnin ini (esok), tetapi kami belum membuat apa-apa persiapan, melainkan membeli buku sekolah anak sahaja. Itupun dibeli dalam kuantiti sedikit.

“Saya mengakui terpaksa meminjam wang kepada keluarga bagi melancarkan urusan pembelian buku memandangkan gaji diterima pada setiap hujung bulan,” katanya.

Beliau ditemui ketika mengambil barangan dan pakaian sekolah terpakai di Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Permai di sini semalam.

Program anjuran Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dan Biro Kebajikan Penglibatan Ibu Bapa Komuniti Sekolah (PIBKS) SK Seri Permai itu dijalankan selama tiga hari bermula Jumaat lalu hasil kerjasama serta soko­ngan Guru Besarnya, Mohammad Sabarullah Shaik Ismail.

Seorang lagi waris yang juga pekerja swasta, Faizah Shaari, 41, memberitahu, dia terpaksa sisihkan perasaan segan untuk datang memilih serta mengambil barangan kelengkapan sekolah terpakai untuk dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun di sekolah berkenaan.

“Saya hanya menerima gaji pokok bulan lalu disebabkan tidak menerima wang tuntutan kerja lebih masa kerana perlu menjaga anak positif Covid-19, manakala suami pula diberhentikan kerja.

“Saya ambil barang keperluan yang penting seperti pakaian sekolah, baju sukan, kasut dan beg untuk dua anak. Jika dibeli, mungkin semuanya berharga lebih RM200,” ujarnya.

Sementara itu, Yang Dipertua (YDP) PIBG sekolah itu, Sharizal Md. Noor berkata, penganjuran program tersebut sememangnya disambut baik waris murid terdiri daripada kategori B40 sehinggalah T20.

“Kami menyediakan lebih 40 barangan kelengkapan baharu dan pakaian sekolah terpakai hasil sumbangan para ibu bapa.

“Tidak sangka program ini begitu mendapat sambutan, terutamanya daripada golongan yang sebelum ini berada dalam ka­tegori M40 dan T20,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI