MEDAN – Sekurang-kurangnya dua dipercayai maut dan 26 lagi hilang selepas sebuah bot yang membawa berpuluh-puluh pendatang asing tanpa izin (PATI) karam di luar pantai Indonesia.
Bot nelayan kayu itu membawa 89 PATI dalam perjalanan menuju ke negara jiran, Malaysia melalui laluan yang tidak dikawal oleh pihak berkuasa.
Namun begitu, bot tersebut mengalami kebocoran sejurus selepas berlepas sebelum terbalik dilanda ombak kuat dan tenggelam.
Seorang lelaki dan seorang wanita ditemui mati manakala 61 yang lain diselamatkan dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan namun baki penumpang lain masih hilang.
“Kami telah mengerahkan anggota kami untuk mencari 26 mangsa yang hilang tetapi usaha kami tidak membuahkan hasil setakat ini,” kata Ketua Pasukan Mencari dan Menyelamat, Ady Pandawa.
Beliau turut menambah bahawa bot yang rosak telah dipindahkan ke pelabuhan yang terdekat.
Kesemua penumpang bot itu datang dari seluruh Indonesia dan dipercayai sedang mencari kerja di Malaysia tanpa dokumentasi asli.
“Kami mengesyaki jumlah penumpang melebihi kapasiti bot jadi apabila kapal itu dipukul ombak kuat, karam serta-merta,” katan Ady. – AFP