SHAH ALAM – Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dipilih sebagai Setiausaha Agung baharu DAP dalam Kongres DAP Ke-17 hari ini.
Lim Guan Eng pula menjadi Pengerusi Kebangsaan sementara ayahnya, Lim Kit Siang dilantik sebagai menjadi mentor parti selepas mengumumkan persaraannya daripada politik.
Pada pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP juga menyaksikan Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo mengekalkan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Kebangsaan.
Anthony Loke dalam ucapan ringkasnya, menghargai para perwakilan dalam memberikan sokongan kepada pemilihan CEC yang baharu.
“Dalam DAP ada banyak bakat, kekuatan dan pendekatan yang akan saya bawa meneruskan tradisi kita, kepimpinan berkualiti dan inklusif.
“Ini supaya setiap pemimpin DAP sama ada dalam CEC atau tidak akan bersama-sama memainkan peranan untuk membawa parti lebih kuat,” katanya. – KOSMO! ONLINE