LONDON – Satu kajian terbaharu mendakwa bahawa angka korban Covid-19 di Britain sejak dua tahun lalu adalah tidak tepat, lapor akhbar The Sun UK, semalam.
Pihak berkuasa kesihatan dan statistik Britain didakwa menggunakan 14 cara yang tidak konsisten untuk menentukan kematian.
Ramai yang meninggal dunia pada awal kemunculan wabak itu tidak pernah benar-benar diuji sama ada dijangkiti virus tersebut, manakala yang lain mungkin mati bukan disebabkan Covid-19.
Pakar dari Pusat Perubatan Berasaskan Bukti Universiti Oxford, Profesor Carl Heneghan berkata, pihaknya masih tidak tahu jumlah sebenar kematian akibat Covid-19.
“Sesetengah daripada mereka yang dikira sebagai kematian Covid-19 mungkin tidak pernah dijangkiti virus itu.
“Ketepatan data ini amat penting kerana ia membawa kepada sekatan yang dilaksanakan kerajaan dan memberi impak sosioekonomi yang besar.
“Sekiranya angka kematian selama ini salah, ia akan menyebabkan hilangnya kepercayaan orang ramai dan jika kami tidak membetulkan isu ini, ada kemungkinan akan sekatan baharu di masa hadapan,” tegas Heneghan.
Berdasarkan kajian yang dijalan oleh Universiti Oxford, terdapat beberapa kematian daripada 800 borang permintaan maklumat mendapati ia dikaitkan dengan Covid-19 hanya berdasarkan keterangan rumah jagaan dan dengan alasan musim koronavirus sedang berleluasa.
“Pada permulaan pandemik, Kesihatan Awam England mengaitkan data mengenai kes positif dengan daftar Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) pesakit yang meninggal dunia.
“Takrifan ini bermakna pesakit yang pernah diuji positif akan dikira sebagai kematian Covid-19 walaupun mereka dilanggar bas beberapa bulan kemudian,” demikian menurut satu laporan. – Agensi