HASRAT perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia untuk mempertahankan gelaran pada kejohanan badminton Seluruh England (All England) tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan separuh akhir sebentar tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Arena Utilita, Birmingham itu, Zii Jia terpaksa akur dengan kekalahan tiga set 13-21, 21-12, 19-21 kepada pemain India, Lakshya Sen dalam tempoh 1 jam 15 minit.
Dia yang juga pemain perseorangan No.1 negara memulakan aksi dengan agak goyah di set pertama apabila melakukan banyak kesilapan sehingga membolehkan pemain lawan mengawal gelanggang dan mengutip mata mudah sebelum menang 21-13.
Tersentak dengan kekalahan di set pertama, Zii Jia tampil dengan aksi lebih kemas pada set kedua menerusi pukulan-pukulan smash mengelirukan selain dibantu kesilapan-kesilapan mudah yang dilakukan Sen sehingga mendahului 11-3.
Meskipun Sen cuba melakukan kebangkitan pada pertengahan aksi set kedua, namun Zii Jia menunjukkan ketenangan dan menampilkan aksi lebih sabar sebelum menang 21-12 bagi mengheret perlawanan ke set penentuan.
Aksi set ketiga berlangsung lebih sengit apabila kedua-dua pemain saling bertukar servis dan mengekori rapat mata masing-masing sehingga satu ketika perlawanan terikat 18-18.
Bagaimanapun, tuah lebih memihak kepada Sen yang juga juara Terbuka Jerman minggu lalu apabila dia menampilkan aksi cukup tenang untuk memenangi set penentuan 21-19, sekali gus mara ke pentas final. – KOSMO! ONLINE