JAKARTA – Sebuah majlis perkahwinan di daerah Kebumen dalam wilayah Jawa Tengah menjadi tular apabila menyediakan cenderahati unik iaitu anak pokok.
Menurut laporan Tribunnews, tetamu majlis diberi pilihan untuk mengambil satu anak pokok yang disediakan dan terdiri daripada beberapa pilihan termasuk pokok palma serta bidara.
Salah seorang tetamu majlis perkahwinan itu, Ani Susanti yang tertarik dengan konsep tersebut telah memuat naik gambar ‘hadiah’ yang diterimanya di laman TikTok.
“Pasangan pengantin menyediakan lebih 100 anak pokok untuk dipilih tetamu.
“Ini kali pertama mendapat cenderahati pokok apabila saya menghadiri majlis perkahwinan. Pada mulanya, saya berasa agak malu untuk bawa pulang tetapi ternyata ia pemberian yang sangat bagus,” kata Ani.
Tambah Ani, pengantin perempuan yang juga rakan universitinya sengaja memilih anak pokok sebagai cenderahati bagi menghidupkan konsep ‘go green’.
Sehingga kini, video yang dimuat naik Ani sudah ditonton lebih 900 ribu pengguna TikTok. – Agensi