KOTA TINGGI – Tindakan menembak mati haiwan liar menggunakan peluru hidup merupakan langkah terakhir diambil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) setelah mengambil kira semua aspek termasuklah keselamatan dan ancaman manusia.
Ketua Pengarah Perhilitan, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, seperti situasi di dalam hutan, langkah yang terbaik diambil adalah dengan memasang perangkap.
“Tembak mati ini merupakan langkah yang terakhir yang kita buat yang mana dibenarkan di antara kita. Kalau ia (haiwan) nak menyerang kita boleh dibenarkan untuk tembak. Langkah yang terakhir ini akan dibuat setelah semua aspek diambil kira.
“Kita akan lebihkan dengan perangkap termasuk buat kerjasama dengan penduduk setempat. Kita akan dapatkan khidmat nasihat dulu,” katanya pada sidang akhbar ketika Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) di Desaru hari ini.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain dan Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Abdullah Jaafar.
Jelas beliau, pihak Perhilitan memang dibekalkan peluru pelali dan peluru hidup untuk menangani isu hidupan liar, namun ia lebih sesuai digunakan bagi haiwan yang berada di kawasan zoo berbanding haiwan di hutan.
“Untuk pengetahuan semua, biasa kalau kita tembak pelali, binatang itu 90 peratus mati. Saya kata begitu sebab bila kita tembak dia tak terus pengsan, dia akan terkejut dan lari. Mungkin 10 minit lepas itu baru ubat pelali berkesan dan ia (haiwan) tumbang,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, menurut Abdul Kadir, pada tahun ini sebanyak dua siri daripada 12 siri operasi rondaan di lapangan telah berjaya dilaksanakan dimana sebanyak 11 kertas siasatan telah dibuka atas pelbagai kesalahan jenayah dengan jumlah nilai rampasan RM54,000. -KOSMO! ONLINE