PASIR PUTEH – Lebih satu tan sampah sarap terutamanya kayu hanyut dari laut berjaya dikutip menerusi Program Gotong Royong Pesisir Pantai ‘Pakat Jago Pata Kito’ di Pantai Bisikan Bayu, Semerak di sini hari ini.
Dalam program itu, batang kayu dan ranting hanyut banyak bergelimpangan di tepi pantai selepas fenomena air pasang besar dan banjir baru-baru ini sekali gus mencacatkan pemandangan kawasan tumpuan orang ramai itu.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar negeri, Tuan Mohd. Saripudin Tuan Ismail berkata, empat pusat pelancongan utama melibatkan pantai di tiga daerah di negeri ini mengadakan program yang sama secara serentak untuk memastikan kebersihan kawasan tepi laut terus kekal.
Menurutnya, kerajaan negeri amat menekankan amalan kebersihan sesuai dengan kempen pelancongan domestik yang berupaya menarik kehadiran pengunjung berasaskan sumber alam semula jadi di persekitaran pantai.
“Program gotong-royong ini diadakan secara serentak di sini, di Pantai Irama di Bachok, Pantai Cahaya Bulan (Kota Bharu) dan Pantai Seri Tujuh (Tumpat).
“Sambutan bagi program ini amat memberangsangkan dengan kehadiran lebih 1,000 peserta yang melibatkan pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan, badan bukan kerajaan (NGO) pihak berkuasa tempatan (PBT), penduduk kampung menerusi penghulu setempat, pusat pengajian tahfiz dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Mohd. Saripudin memberitahu, kempen kesedaran Kelantanku Bersih yang dilancarkan empat tahun lalu dilihat berjaya mendidik rakyat untuk terus kekal mengamalkan tabiat membuang sampah di tempat yang sudah disediakan. -KOSMO! ONLINE