fbpx

Rezeki kenerak liar yang susah diperoleh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD SYAFIRDAUS menunjukkan ikan kenerak seberat 10.4 kg yang didaratkannya di Sungai Makasar, Pasir Mas, baru-baru ini.

IKAN kenerak yang juga dikenali sebagai askar atau nama saintifiknya Bagarius boleh diibaratkan sebagai lesen kepada kaki pancing sebelum mendaratkan ikan-ikan lain.

Bukan mudah untuk mengumpan ikan pemangsa yang bermisai dan bergigi tajam itu ekoran ia sering berada di kawasan sungai air tawar berarus deras.

Ikan itu kebiasaannya banyak terdapat di kawasan hulu sungai khususnya di pedalaman Gua Musang dan terkini banyak dikail di Sungai Makasar, Pasir Mas, Kelantan selepas banjir surut.

Pemburu ikan kenerak di Pasir Mas, Mohamad Syafirdaus Hamat Shafi, 32, berkata, ikan berkepala besar itu memiliki warna kekuningan bercorak celoreng menyebabkan ia disebut sebagai baung askar berbanding baung biasa yang berwarna gelap.

Menurutnya, kawasan sungai berbatu, batang kayu yang hanyut atau tenggelam di dasar sungai dan tiang jambatan sering menjadi tempat kawanan ikan itu berkumpul.


ALAT timbangan sentiasa dibawa untuk mengesahkan berat timbangan ikan yang berjaya didaratkan Mohamad Syafirdaus.

“Sekiranya kaki pancing menjumpai lokasi-lokasi itu, ia seperti lubuk untuk memancing ikan kenerak. Bukan mudah untuk memperdayakan ikan itu, sekali pun menggunakan umpan hidup.

“Misainya adalah deria utama ikan kenerak mencari mangsa untuk dimakan dalam keadaan air sungai yang keruh,” katanya ketika ditemui Gewang di Sungai Makasar, Pasir Mas baru-baru ini.

Beliau yang bekerja sebagai kontraktor berkata, teknik casting dasar menggunakan umpan tiruan dengan batu ladung bersaiz tujuh atau lapan sudah beberapa kali berjaya mendaratkan spesies ikan berkenaan.

Katanya, dia berjaya menangkap kenerak lebih 10 kilogram (kg) baru-baru ini yang dijual pada harga RM400.

“Joran kesayangan saya Shimano Zodias dengan rel Shimano Melanium DC dan gewang dasar Zero 70F sudah banyak berjasa membolehkan seisi keluarga menjamah lauk ikan yang sukar ditemui pada masa ini,” ujarnya.

Katanya, kebiasaannya dia dapat menangkap kenerak seberat 3kg dan dipancing hanya dalam tempoh beberapa minit dengan teknik casting di sungai berkenaan.

“Ikan kenerak tidak dijual di pasaran terbuka. Hanya kaki pancing sahaja berpeluang menikmati keenakan isinya apabila di masak kuning atau gulai asam pedas tempoyak,” katanya.


MOHD. SUHAIMI menunjukkan ikan kenerak yang ditangkapnya di Sungai Pahang di Kampung Teluk Sentang, Temerloh baru-baru ini.

Sementara itu, Mohd. Suhaimi Ibrahim, 37, dari Semerak, Pasir Puteh ‘jatuh cinta’ dengan penangan kenerak selepas memancing ikan itu di Sungai Pahang berhampiran rumah mentuanya di Kampung Teluk Sentang, Temerloh.

Menurutnya, ikan kenerak gemarkan umpan cengkerik, anak ikan keli atau ulat lundi, namun dia lebih selesa menggunakan umpan dasar rapala dan dengan kaedah casting tanpa perlu menguruskan mata kail.

“Saya hanya mampu mendaratkan ikan kenerak seberat 1 hingga 2kg di sungai berkenaan,” ujarnya.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI