fbpx

‘Usah bercakaran demi lelaki’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NAD ZAINAL

MENJAYAKAN watak pemusnah rumah tangga orang, apatah lagi adik tiri sendiri bernama Kirana dalam naskhah berjudul Dendam Seorang Isteri, Nad Zainal menyifatkan pengalaman tersebut antara yang terbaik sepanjang tempoh hampir 15 tahun berkecimpung dalam dunia seni tanah air.

Nad atau nama lengkapnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, bekerjasama dengan barisan pelakon hebat seperti Fasha Sandha, Wan Raja dan Aidit Noh juga menghadirkan perspektif baharu buat dirinya dalam dunia lakonan.

Menurutnya, siapa sangka impian sekian lama untuk berkongsi bingkai visual bersama Fasha akhirnya termakbul menerusi drama rantaian yang merupakan adaptasi karya asal popular Korea Selatan, Temptation of Wife berkenaan.

“Dendam Seorang Isteri merupakan projek drama pertama saya dengan Fasha Sandha. Saya sangat menghormatinya sebagai seorang pelakon.

“Dia (Fasha) punya etika kerja memang sangat ‘tip top’. Sangat profesional dan dia juga merupakan seorang pelakon yang sangat merendah diri.

“Pengalaman ‘sparring’ dengan dirinya, sangat selesa. Dia seorang pendengar yang bagus dan rakan yang bermurah hati. Di set penggambaran, dia suka belanja makan,” katanya kepada HibGlam.

NAD ZAINAL berpendapat wanita harus ada sifat malu dan mahal.

Peminat setia

Berbicara lanjut tentang karakternya sebagai Kirana, pelakon berusia 32 itu berasa sangat ‘beruntung’ kerana sememangnya mengikuti drama karya asal tersebut.

“Saya peminat nombor satu drama tersebut, namun versi Filipina. Kalau nak cakap tentang rujukan karakter Kirana, saya sebenarnya melakonkan karakter terbabit mengikut acuan sendiri.

“Semestinya, saya mendapat inspirasi daripada versi terdahulu yang dijayakan ramai pelakon hebat, namun untuk saya sebagai pelakon, setiap watak yang diterjemahkan, memiliki ‘twist’ tersendiri, harus hadir dari dalam diri, termasuklah sebagai Kirana,” katanya.

IBU kepada dua cahaya mata ini percaya, lelaki yang benar-benar menghendaki wanita impiannya, harus datang sendiri, tidak perlu direbut atau diperjuangkan sehingga sanggup bermusuhan dengan wanita lain.

Kirana bukan antagonis

Ditebak lebih mendalam tentang watak wanita pemusnah kebahagiaan orang itu, Nad tidak beranggapan wanita tersebut sebagai antagonistik atau jahat.

Menurutnya, ada alasan mengapa seseorang wanita sanggup bertindak sedemikian sehingga tega meruntuhkan rumah tangga adik sendiri.

“Setiap orang ada sejarah hidup. Barangkali, cara kita dibesarkan atau keadaan sekeliling membuatkan kita menjadi seorang pendendam.

“Bukan bermaksud saya menyokong tindakan atau pendekatan watak fiksyen Kirana, namun secara realiti, apa yang ditonjolkan wujud dalam kehidupan seharian.

“Kalau masa kecil kehidupan kita dikelilingi dengan perihal bersifat sengsara, sudah tentu, diri terbentuk menjadi seorang yang bersifat negatif apabila besar.

“Itulah yang terjadi kepada Kirana dan saya tak anggap karakternya jahat atau antagonistik.

“Yang jahatnya orang lain (ketawa),” tutur ibu kepada dua orang cahaya mata itu.

Mengulas lanjut tentang situasi golongan wanita yang bermasam muka atau bercakaran demi menagih kasih lelaki dambaan, Nad bertegas, wanita zaman sekarang tidak sepatutnya bertindak sebegitu.

“Kita (wanita) perlu ada sifat malu dan mahal. Tak perlu tarik rambut sesama wanita demi lelaki.

“Bagi saya, kalau lelaki itu mahukan kita, mereka akan datang sendiri dan tak perlu pun kita ‘sailang’ orang yang rapat dengan kita.

“Kalau kita sesama wanita bergaduh, siapa lagi yang nak bantu diri kita kalau bukan kaum kita sendiri?

“Jadi, nasihat saya untuk para wanita di luar sana, bina dan carilah kebahagiaan sendiri.

“Kalau nak cuba kekasih atau suami kawan baik sendiri, fikirlah bahawa kita wanita dan mampu membina masa depan sendiri tanpa perlu bercakaran sesama sendiri.

“Kita wanita akan berubah status jadi isteri, kemudian ibu dan kitalah sumber kekuatan kaum kita sendiri.

“Kalau kita bergaduh sesama sendiri, kita yang rugi. Kaum lagi satu itu (lelaki) senyum lebar,” katanya dengan nada berseloroh.

BERPENAMPILAN berani dan seksi, Nad Zainal menyifatkan itu semua sekadar kostum kerja, bukan keperibadian realitinya.

Seksi tuntutan kerja

Disuakan pertanyaan tentang imej ‘berani’ dan seksinya sejak akhir-akhir ini, permaisuri hati lelaki bernama Muhammad Faliq Amirullah itu menegaskan, orang boleh berkata apa pun yang mereka mahu, namun dia tetap tahu limitasi dan komitmen sebagai aktres.

“Seksi atau mencolok mata seperti apa yang menjadi perdebatan netizen, mereka kena faham, semua itu tuntutan kerja saya sebagai seorang pelakon.

“Selepas selesai kerja dan pulang ke rumah, saya kembali jalani kehidupan seperti biasa iaitu isteri kepada suami dan ibu kepada dua orang anak.

“Untuk karakter Kirana yang memerlukan saya menjadi seorang wanita penggoda dan berpenampilan seksi.

“Itulah yang saya berikan sebagai anak seni. Itu tanggungjawab saya dan dilunaskan sehabis baik.

“Orang nak cakap itu ini, saya tiada kudrat nak tutup mulut orang. Nak melenting lebih pun, saya tak kenal setiap orang yang meluahkan kecaman.

“Jadi, lebih baik saya buat sahaja kerja dan berdiam. Nanti sudah penat, pandailah mereka senyap sendiri,” katanya memberi noktah perbualan.

Dendam Seorang Isteri arahan Uchee Fukada dan Nizam Zakaria akan mula bersiaran 21 Mac 2022 setiap Isnin hingga Jumaat menerusi slot Tiara Astro Prima. Drama berkenaan turut dibintangi pelakon hebat lain seperti Aidit Noh, Roy Azman, Ziema Din dan Dian P. Ramlee.

Busana FARRARAHIM ATELIER Solekan FARISHA Z Rambut CKAY LIOW Tatarias R.D IDEWANI ZAINI & DINO OMAR
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI