JOHOR BAHRU – Keseronokan 10 remaja termasuk seorang remaja perempuan menunggang motosikal sambil melakukan aksi berbahaya tidak bertahan lama apabila mereka diberkas dalam Op Samseng Jalanan, semalam dan hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, operasi itu dijalankan bermula pukul 11 malam semalam sehingga pukul 4 pagi hari ini.
Menurutnya, kesemua mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan remaja lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 15 hingga 20 tahun.
“Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Johor Bahru Selatan telah menjalankan operasi samseng jalanan (mat rempit) di sekitar Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL), Lebuh Raya Utara-Selatan, Jalan Stulang Laut, Jalan Lingkaran Dalam dan Jalan Skudai Pantai Lido.
“Lokasi berkenaan dikenal pasti sebagai ‘hotspot’ golongan remaja melakukan aksi berbahaya.
“Antara aksi berkenaan termasuk melakukan wheelie, superman dan menunggang secara zig-zag serta pelbagai aksi lain yang membahayakan diri sendiri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati lapan daripada mereka tidak mempunyai lesen memandu.
Ujarnya, tindakan saman sebanyak 16 keping saman Pol. 257 dengan 25 kesalahan antaranya lesen, nombor pendaftaran tidak ikut spesifikasi, ubah suai struktur kenderaan serta ekzos telah dikeluarkan terhadap semua yang ditahan semasa operasi dijalankan.
Kesemua remaja terbabit ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM15,000 dan penjara wajib satu hari sehingga 5 tahun, jika sabit kesalahan. -KOSMO! ONLINE