PETALING JAYA – Pelakon Eyka Farhana lebih selesa mengambil pendekatan menjadi diri sendiri dengan memakai pakaian yang mengikut keselesaan biarpun pernah menjadi mangsa kecaman netizen gara-gara imejnya yang dikatakan semakin seksi.
Kata Eyka atau nama sebenarnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi, 27, dia masih tahu menjaga penampilan dan pakaian yang dipakainya selama ini tidak pernah terlalu menonjol sehingga mendedahkan ‘lurah dendam’.
“Rasanya dari segi pakaian saya, dari dulu saya akan pakai yang mengikut keselesaan. Lagipun kalau tengok dalam media sosial, tak rasa saya seorang saja yang pakai menonjol.
“Malah, saya bukanlah seorang yang jenis memakai pakaian yang menampakkan lurah dendam. Saya masih tahu jaga penampilan,” ujarnya ketika ditemui usai majlis tayangan filem lakonannya, Autumn In Wales semalam.
Tambah Eyka lagi, dia sebenarnya enggan menjadi hipokrit di depan peminat termasuklah berkaitan perkongsiannya dalam media sosial.
“Saya pakai apa yang saya selesa. Sebab tak naklah jadi hipokrit. Dalam media sosial tak kongsi, tapi kalau jumpa depan-depan, peminat tengok diri saya yang sebenar.
“Sebab itu saya mahu jadi sendiri. Walaupun dulu ada komen kecaman, tetapi lama-lama peminat dah dapat terima diri saya begini dan mereka pun boleh faham,” ujarnya.
Awal Januari lalu, Eyka menjadi perhatian netizen apabila berkongsi gambar memakai pakaian yang kelihatan agak seksi sehingga dilabel ‘tidak cukup kain’.
Berdasarkan gambar yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, pelakon itu berkongsi foto menunjukkan dia memakai gaun hitam paras paha dengan gaya reben besar menutupi bahagian dadanya. – KOSMO! ONLINE