KYIV – Seekor kucing yang merupakan selebriti media sosial popular di Ukraine bernama Stepan berjaya melarikan diri dari negaranya dan mendapat perlindungan di Perancis, lapor akhbar Daily Mail, kelmarin.
Kucing berusia 13 tahun itu memiliki lebih sejuta pengikut di laman Instagram dan menjadi popular berikutan gambar-gambar aksi lincahnya.
Pemiliknya yang bernama Anna tidak mengemaskini akaun Instagram Stepan @loveyoustepan selama hampir dua minggu hingga menimbulkan khabar angin mereka berdua mungkin menjadi korban perang di Kharkiv.
Namun begitu, Anna memaklumkan perkembangan mereka awal minggu ini dengan memberitahu dia dan Stepan berjaya melarikan diri ke Perancis.
“Keadaan di Kharkiv sangat dahsyat, saya dan Stepan menghabiskan masa seminggu di bilik perlindungan tanpa sebarang bekalan elektrik dan air.
“Kami berjaya keluar dan pergi ke stesen kereta api untuk perjalanan hingga ke sempadan Poland. Di sana, Persatuan Pengaruh dan Blogger dari Monaco membantu kami untuk melarikan diri ke Perancis,” jelasnya.
Anna juga memberitahu keadaan dia dan Stepan baik-baik sahaja dan sedang menunggu masa sesuai untuk pulang ke Ukraine. – Agensi